KUCHING: Seorang lelaki tempatan dijatuhi hukuman denda RM2,000 atau satu bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan memiliki wang secara tidak sah dalam akaun peribadinya berjumlah RM2,083 selepas menyewakan kad ATMnya untuk tujuan penipuan dalam talian.
Tertuduh Abdul Fareezal Rajesh, 28, dari Samariang, mengaku bersalah atas satu pertuduhan di bawah Seksyen 37(1) Ordinan Kesalahan Kecil Sarawak1958 yang dibacakan di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa menerima satu transaksi masuk wang berjumlah RM2,083 ke dalam akaun bank peribadi dari sebuah bank di Jalan Satok, kira-kira jam 3.25 petang, 10 November 2022.
Menurut fakta kes, pengadu telah menerima satu e-mel untuk menekan satu pautan m2u@maybank.com.my bagi tujuan kemas kini sistem bank.
Setelah memberikan maklumat pada aplikasi berkenaan, wang dalam akaun pengadu telah berlaku sepuluh transaksi keluar wang ke dalam dua pemilik akaun berbeza iaitu satu transaksi atas nama Abdul Fareezal Rajesh (Tertuduh) dan sembilan atas nama Mohd Khairul Fitri (masih bebas).
Jumlah kerugian yang dialami mangsa sekitar RM46,083. Pengadu yang merasakan dirinya telah ditipu kemudian membuat laporan polis untuk tindakan dan siasatan lanjut seterusnya membawa kepada penangkapan tertuduh pada Isnin lepas(27 Mac).
Difahamkan, pengadu menekan satu pautan lain untuk tujuan mencari pembantu rumah tetapi semasa pencarian tersebut, dia disuruh untuk menekan pautan bank bagi tujuan kemas kini sistem hingga menyebabkan kehilangan sejumlah wang miliknya.
Selain itu, tertuduh mengaku telah mencagarkan kad ATMnya untuk disewakan kepada orang lain.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.