KUCHING: Lebih 3,500 hidupan liar dan 4,206 kayu balak haram termasuk tiang bakau di kawasan perlindungan sepenuhnya (TPA) dirampas Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) setakat September tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Dan Pengawal Hidupan Liarnya Zolkipli Mohamad Aton berkata, dalam tempoh yang sama sejumlah 361 tumbuhan terlindung, 1,024kg daging hidupan liar dan 9,708 bahagian tubuh hidupan liar lain turut dirampas.
“Selain itu setakat Ogos lalu, orang ramai telah menyerahkan 222 hidupan liar kepada SFC, manakala kami berjaya melepaskan 909 haiwan liar ke dalam hutan.
“Dalam masa sama, SFC juga berjaya menjual 200kg sarang burung yang telah dirampas melalui tender berjumlah RM431,000,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Hari Integriti SFC yang disempurnakan Menteri Muda Pembangunan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
“Sementara bagi kes mahkamah dalam tempoh 2020 hingga 2021, sebanyak 174 kertas siasatan dibuka, 18 kes didakwa dan 32 tertuduh didakwa.
“Mereka yang bersalah didenda RM362,600 secara keseluruhan, manakala terdapat 83 kes dikompaun dan sejumlah RM149,950 telah dikutip,” ujarnya.



