Shahabudin Omar juara

SETIAUSAHA Persekutuan Sarawak, Mohd Shahabudin Omar dinobatkan juara kategori VIP Kejohanan Golf Piala Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) di Kelab Golf Country Pantai Damai (DGCC), semalam.

Dia mendapat kutipan 37 mata membawa pulang baucar bilik hotel percuma, termasuk sarapan untuk dua orang selama dua hari satu malam di bilik mewah berdekatan kolam renang di Resort Pantai Damai dan sebuah gajet Huawei Media Pad 5.

Manakala Timbalan Pengarah Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri, Datuk Clarence Rorote mendapat tempat kedua dengan kutipan 35 mata membawa pulang hadiah sebuah vakum Elextrolux stick ZB-3414AK.

Tempat ketiga dimenangi oleh Menteri Muda Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil.

Beliau mendapat 34 mata membawa balik hadiah sebuah gajet pintar jenama Samsung Tab A.

Bagi kategori wanita pula dimenangi oleh Kuintan Sapawi dengan kutipan 25 mata membawa balik hadiah sebuah mesin pengadun jenama Kenwood HM-680.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Davin dengan kutipan 21 mata, membawa pulang baucar makan malam Steamboat di Restoran Coca, Hotel Riverside Majestic.

Teo Whye Jin mendapat tempat ketiga dan membawa pulang baucar bilik hotel percuma termasuk sarapan untuk dua orang selama dua hari satu malam di bilik mewah berdekatan kolam renang di Resort Pantai Damai.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak(SEDC), Tan Seri Datuk Amar Abdul Aziz Husain berkata, objektif pertandingan adalah untuk mengumpul semua rakan strategik, rakan perniagaan dan penyokong.

“Ia sebagai tanda penghargaan kerana telah memberikan kerjasama kepada SEDC sepanjang 2019.

“Pertandingan seperti ini adalah pentas untuk memupuk hubungan rapat antara agensi yang berkait rapat dengan SEDC, termasuk anak syarikat.

“Saya gembira kerana menerima sambutan yang baik dan menunjukkan ada ikatan yang kukuh antara kita, sambil berkongsi kenangan sepanjang tahun 2019,” katanya semasa merasmikan penutupan Pertandingan Piala Pengerusi SEDC di DGCC, semalam.

Tambah Abdul Aziz, beliau amat bersetuju kursus bermain golf secara profesional yang dirancang oleh Arnold Palmer di DGCC, sebagai salah satu program yang terbaik.

“Oleh itu, kelab ini tidak pernah gagal untuk menarik ribuan pemain golf dari seluruh Malaysia dan luar negara termasuk pelancong yang begitu teruja untuk bermain di Sarawak,” ujarnya.