Shoot! Beri nafas baharu Liga M

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) dengan kerjasama bersama Ingres Technologies Sdn Bhd (Ingres), akan memperkenal aplikasi bola sepak negara iaitu Shoot!

Ingres merupakan syarikat teknologi maklumat terkemuka yang khusus dalam pembangunan perisian, sistem integrasi dan infrastruktur telekomunikasi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, pengelola Liga Malaysia mengalu- alukan kedatangan Ingres yang mengikat perjanjian lima tahun bermula 2021 dengan syarikat berkenaan akan bertindak sebagai pembangun aplikasi itu.

Beliau percaya aplikasi Shoot! bakal menjadi nafas baharu kepada Liga Malaysia, seiring peredaran teknologi masa kini yang menuntut maklumat dan kandungan digital di hujung jari.

“Aplikasi ini bakal menawarkan segala berita, info dan kandungan bola sepak Malaysia dalam satu aplikasi.

“MFL dengan kerjasama Ingres mahu memastikan setiap peminat dapat mengikuti perkembangan terkini, teknologi yang ditawarkan oleh aplikasi ini.

“Ia membolehkan semua penyokong mendapat maklumat bukan sahaja pasukan Liga Malaysia, malah termasuk e-MFL, pasukan kebangsaan lelaki mahupun wanita, pasukan bola sepak pantai, futsal serta pertandingan anjuran FAM.

“Menerusi aplikasi Shoot! ini juga, peminat boleh mengesahkan pasukan kegemaran masing-masing.

“Mereka akan ditawarkan segala informasi berkenaan pasukan yang diikuti itu selain mendapat statistik perlawanan secara langsung, ‘e-commerce’ yang bakal diperkenalkan di masa hadapan dan lain-lain lagi.

“Harapan MFL dengan kerjasama Ingres adalah mahu lebih mendekati dan memahami penyokong bola sepak tempatan dan memberikan kandungan serta informasi terbaik kepada mereka menerusi aplikasi ini,” katanya dalam satu kenyataan media.

Majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara MFL dan Ingres berlangsung semalam dengan MFL diwakili Datuk Ab Ghani dan Ketua Pegawai Eksekutif Ingres, Datuk Emil Rinaldi Sjaiful sambil disaksikan oleh Presiden MFL Datuk Hamidin Mohd Amin serta Pengarah Eksekutif Ingres, Faris Lodin.

Menurut Datuk Emil Rinaldi Sjaiful, ekosistem digital memainkan peranan yang amat penting untuk memahami sikap penyokong bola secara terperinci.

Tambahnya, penerapan data dalam organisasi adalah kunci bagi meningkatkan daya saing di zaman digitalisasi yang semakin berkembang.

“Ingres dengan kerjasama MFL komited dalam menerajukan aplikasi bola sepak negara ini, pelbagai info dan kandungan yang unik dan eksklusif akan dipaparkan bagi memenuhi kehendak peminat. Ia juga merangkumi elemen-elemen yang lebih menghiburkan serta “fan engagement” yang luar biasa.

“Saya harap aplikasi ini bukan sahaja menjadi pelengkap kepada pengalaman penyokong yang menonton bola sepak tanah air, malah membantu ekosistem bola sepak secara holistik untuk terus berkembang dengan teknologi yang lebih canggih,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani menegaskan aplikasi Shoot! turut dapat membantu kelab-kelab Liga Malaysia menjana pendapatan baharu selain daripada penaja, tiket atau cenderahati.

Prapelancaran aplikasi Shoot! bakal diadakan hujung bulan ini, para penyokong tempatan berpeluang menerokai aplikasi Shoot! dengan memuat turun semua operasi sistem telefon pintar bermula dengan Android Mac depan.

Suara Sarawak