Si duri tajam

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

DURIAN bukan sekadar pemegang takhta raja buah, tetapi juga raja bau.

Oleh itu musim durian adalah berita kurang baik bagi mereka yang tidak menggemari si duri tajam ini.

Bau yang kuat, menyengat dan melekat menyebabkan ada yang tidak senang duduk, lebih-lebih lagi ketika berada di dalam kereta bersama-sama orang yang selepas makan buah ini.

Aromanya begitu mudah tersebar, terutama ketika berada di dalam rumah, pejabat atau bilik hotel.

Oleh itu buah pelbagai spesies dan gred ini dilarang sama sekali untuk dibawa masuk ke hotel atau pejabat.

Bagi penggemar, elakkan makan durian sebelum penerbangan, atau solat di masjid mahupun surau, kerana ia boleh mengganggu jemaah lain.

Namun pelbagai petua daripada orang tua-tua, untuk mengurangkan bau.

Antaranya, minum air suam dengan menggunakan sulur kulit durian atau membasuh tangan di dalam sulur.

Bagi mengurangkan bau di dalam kereta, letakkan arang atau roti paun kerana ia boleh menyerap bau dengan cepat.

Ada juga yang mengesyorkan puting durian diletakkan dekat pendingin hawa di dalam kereta.

Yang pasti, cara terbaik untuk menghilangkan baunya ialah tidak meletakkan durian di dalam kereta.

Sejak tiga minggu kebelakangan ini, durian datang lagi di seluruh Sarawak, dan kini harganya semakin murah ekoran bekalan yang lebih banyak berbanding tahun lalu.

Bagi ‘hantu durian’ inilah musim yang ditunggu-tunggu, boleh menikmatinya dengan banyak tanpa membocorkan poket.

Dengan harga RM5 sebiji dan ada tempat, hanya RM2 sebiji bagi saiz S (kecil), ia boleh dinikmati semua peringkat masyarakat.

Yang pasti buah bersaiz sederhana yang berharga RM10 hingga RM15 sebiji menjadi pilihan kerana isinya terjamin baik.

Bagi penggemar tegar, harga adalah perkara kedua… janji isi lunak dan memuaskan.

Kalau nak harga yang lebih murah kunjungilah pekan Lachau, 141 kilometer dari Kuching, hanya lebih sejam perjalanan, melalui Lebuh Raya Pan Borneo, belilah secara pukal… lagi murah.

Misalnya RM200 dapat 50 biji pelbagai saiz. Ini bermakna secara purata hanya RM4 sebiji.

Bagi yang mempunyai ahli keluarga ramai adalah lebih baik ke Lachau atau di tepi jalan, sekitar laluan dari Serian ke Sibu.

Kebanyakan durian di sini masih segar dan dijual oleh pemilik dusun sendiri, jadi harganya jauh lebih murah daripada durian di kawasan bandar.

Ketika harga yang agak murah sekarang ini, tidak perlulah terlalu tawar-menawar, kerana mengutip buah bukan kerja mudah.

Saya pernah tiga kali mengikut pemilik durian ke dusun.

Ia mengambil masa lima hingga enam jam berjalan kaki dan menaiki bot, bergantung kepada lokasi dusun dan cuaca.

Kami meredah hutan belantara sebelum tiba di dusun, cuaca baik memudahkan perjalanan.

Sangat menyeronokkan apabila melihat buah jatuh bertebaran, sambil mengutip dan memasukkannya di dalam bakul besar atau tambok, yang disandar di belakang.

Kami juga sempat menikmatinya.

Biasanya buah yang baru jatuh rasa segarnya luar biasa.

Namun mengandar bakul besar yang berisi durian sambil berjalan di dalam hutan cukup memenatkan dan memerlukan stamina… jika tidak anda pasti tersungkur.

Menurut pemilik, keadaan lebih sukar apabila dusun berada di kawasan berbukit, atau jauh ke dalam hutan.

Ada yang turun ke kebun ketika keadaan masih kegelapan, sekitar jam 4 pagi semata-mata untuk mengutip buah untuk dijual sekitar jam 9 pagi.

Namun musim buah yang banyak menyebabkan harganya merudum, dan pemilik tiada pilihan, kecuali menurunkan harga, jika tidak ia terbuang begitu sahaja.

Oleh itu, pengeluaran buah yang sederhana membolehkan harganya stabil, tidak terlalu mahal dan tidak pula terlalu murah, kebanyakan orang mampu membelinya.

Yang pasti, harga yang terlalu mahal menyebabkan hanya golongan tertentu yang mampu membelinya, dan ia tidak juga baik untuk penjual.

Biasanya pengeluaran buah sederhana banyak akan menguntungkan kedua-dua pihak, penjual dan pembeli.

RM400 sebiji Jika di Semenanjung ada pelbagai gelaran terhadap raja buah ini, dan harganya mengikut status dan gred.

Oleh itu, durian sebagai ‘lubuk emas’ bagi pengusaha dan peraih.

Jika dulu spesies musang king yang berada di tangga teratas carta, tetapi kini takhtanya sudah pun dirampas spesies duri hitam.

Jika harga musang king sekitar RM70 hingga RM85 sekilogram, duri hitam pula mencecah RM100 hingga RM120 sekilogram.

Namun harga juga bergantung kepada pengeluaran dan permintaan.

Beberapa lagi spesies lain seperti udang merah, kunyit, sultan, D24, yang harganya sekitar RM30 hingga RM50 sekilogram. Turut berada di pasaran ialah tupai king, tekka, golden phonix, XO, D101, black pearl, D13 dan D17.

Yang pasti, duri hitam menjadi buruan ramai kerana rasanya yang lain daripada yang lain, lebih enak daripada musang king.

Malah ada yang sanggup berbelanja besar, demi kepuasan.

Di Balik Pulau, Pulau Pinang misalnya, duri hitam bersaiz besar, sekitar lebih tiga kilogram berharga RM400 sebiji.

Mungkin Jabatan Pertanian Sarawak atau pengusaha dusun perlu mencipta nama untuk durian lokal atau kampung ini, berdasarkan gred masing-masing.

Ia perlu dilakukan demi identiti dan nilai tambah si raja buah ini.

Ia kerana terdapat varieti yang sangat enak, namun tidak mempunyai nama.

Ia perlu mempunyai jenama sendiri bagi mengangkat martabat durian Bumi Kenyalang.

Siapa tahu ada spesies terbaik dalam kalangan durian lokal ini yang mampu mencabar reputasi duri hitam dan musang king.

Pokok yang menghasilkan varieti berkualiti tinggi perlu dipulihara atau proses hibrid dengan spesies sesuai.

Oleh itu penyelidikan dan pembangunan harus dilakukan dari semasa ke semasa terhadap durian lokal ini bagi mengekalkan kualiti mahupun kuantiti.

Menurut salah seorang penjual durian di Kuching, yang dikenali sebagai Joeb, durian Sarawak juga popular dalam kalangan penggemar dari Semenanjung Malaysia.

“Kalau orang Semenanjung ke sini, biasanya mereka mencari durian kampung, yang pokoknya berusia lebih 30 tahun ke atas.

Biasanya ia mengeluarkan buah yang sempurna, bukan sahaja dari segi tekstur isi (lunak), tetapi juga aroma dan rasa yang luar biasa,” katanya.

“Rasanya yang sedikit pahit, tetapi banyak manisnya, amat digemari ramai.

Ini kerana pokok yang telah berusia (lebih 30 tahun) mempunyai akar yang menjalar jauh ke dalam tanah, sekali gus mudah mendapatkan pelbagai nutrien untuk pertumbuhan pokok dan buah.

Ini tidak berlaku pada pokok yang baru berusia lima hingga 10 tahun,” ujar Joeb.

Sebagai pembekal utama pes durian kampung ke Kuala Lumpur serta China, sejak 2019, Sarawak mempunyai masa depan cerah, dalam pengeluaran durian.

Kewujudan rantaian pasaran bukan sahaja membantu petani, terutama di luar bandar untuk meraih pendapatan lumayan, malah mencapai sasaran Kerajaan Negeri untuk menjadikan Sarawak sebagai pengeksport makanan menjelang 2030.

Durian yang dijadikan pes dibeli daripada penduduk di sekitar Padawan, Bau, Serian, Simunjan dan Betong sebelum diproses menjadi pes untuk digunakan bagi menghasilkan produk makanan berasaskan durian, seperti aiskrim, kek dan biskut.

Yang pasti, durian merupakan antara empat tanaman popular di Sarawak yang dikenal pasti sebagai berpotensi untuk kegunaan sendiri dan dieksport, selain kelapa, nanas dan pisang.

Insya-Allah pada masa akan datang, Sarawak bukan sahaja dikenali sebagai antara jelapang padi Malaysia, tetapi juga sebagai pengeluar durian bermutu tinggi, setanding duri hitam dan musang king.

Mungkin pihak UNIMAS perlu melakukan kajian bagaimana untuk mengurangkan bau durian.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Nilai satu undi

“ SIAPA yang akan menang” bukan lagi persoalan yang perlu

Lain-lain

Buruh paksa moden

SEKALI-SEKALA media melaporkan pekerja asing, termasuk pembantu rumah di negara

Gibran di mata Prabowo

PEMILIHAN presiden (Pilpres) Indonesia berlangsung 14 Februari 2024. Sejumlah survei