Si lantang, si cantik, si bijak dan berpengaruh

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

LAPAN penjuru. Itu yang berlaku di N.52 Dudong semalam, sekali gus mencipta sejarah pencalonan tertinggi dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak 2021.

Dan mereka bertanding merupakan calon daripada pelbagai latar belakang, profesion dan peringkat umur.

Ironinya, penyandang, Datuk Tiong Thai King, bagai tahu apa yang akan berlaku, tidak pula berdiri mempertahankan jawatannya kali ini.

Thai King, 76, sebaliknya mengambil keputusan untuk bersara, biarpun rakan karibnya, Datuk Seri Wong Soon Koh masih bertanding pada usia 79 tahun.

Ini menjadikan harapan untuk menyaksikan dua king bertembung tidak kesampaian.

Situasi ini menjadikan Presiden Parti Demokratik Progresif, Datuk Seri Tiong King Sing yang terkenal dengan kelantangan melangkah gagah di Perpustakaan Awam Sibu Jaya sebagai calon paling senior.

King Sing berhadapan tujuh calon lebih muda iaitu Wong Hie Ping dari Parti Sarawak Bersatu (PSB), Dr Jane Lau Sing Yee (Parti Bumi Kenyalang (PBK)), Fadhill Mohamad Isa (Bebas), Julius Enchana (PBDS Baru), Paul Ling (DAP), Josephine Lau (Aspirasi) dan Engga Unchat (Bebas).

Berdasarkan nama-nama yang bertanding, King Sing pasti mempunyai kelebihan tersendiri – pengalaman.

Namanya yang cukup besar dalam politik negara serta terbukti berjaya pasti mudah untuk dijual dalam keadaan keterhadan pergerakan kempen sekarang.

King Sing sememangnya terkenal dengan keberanian dan kelantangan.

Tetapi itu di kawasan parlimennya di Bintulu.

Justeru beliau perlu mengulangi kehebatan tersebut di Dudong, biarpun realitinya tidak mudah, berikutan set pemilih yang berbeza.

Selain itu, di atas kertas, beliau pasti menerima penolakan daripada kelompok ahli tegar parti SUPP yang sebenarnya pemilik tradisi kerusi tersebut – jika dinilai dari sudut kekecewaan yang dilontarkan Pengerusinya, Datuk David Teng.

Apa pun King Sing sememangnya seorang yang dinamis, suka akan cabaran.

Dan ini cabaran paling menarik beliau.

Beliau yang sudah lama ingin kembali berkhidmat di Sibu akan berusaha untuk menakluki hati 35,154 pemilih di kawasan itu.

Dan ia perlu kepada strategi tersendiri untuk menyentuh hati mereka.

Di N. 52 Dudong, 5,241 pemilih berusia 21-29 tahun; 8,688 berusia 30-39 tahun, 7,766 berusia 40-49 tahun, 6,455 berusia 50-59 tahun dan 4,129 berusia 60-69 tahun.

Malah 17,802 daripada mereka adalah wanita sementara 17,532 lelaki.

Ini memberi cabaran besar kepada King Sing, kerana beliau perlu menawan hati orang muda.

Sementelah lawan-lawannya kebanyakannya orang muda dan generasi Internet.

Justeru beliau perlu bijak menggunakan kaedah itu untuk berkempen, setelah kaedah bersemuka dihadkan.

Beliau perlu lebih panjang akal dalam menangani lawannya yang lebih segar fizikalnya.

Misalnya, Dr Jane Lau, bukan sahaja pintar tetapi memiliki personaliti dan rupa yang menarik.

Begitu juga dengan Wong Hie Ping, yang terkenal dengan aktiviti kemasyarakatannya. Selain itu, King Sing sebagai watak yang penting di sini turut berhadapan dengan influencer media sosial asal Sarawak, yang juga bekas pembaca berita, Cardock.

Cardock atau nama sebenarnya Fadhill Mohamad Isa, 37, telah lama bermastautin di Semenanjung, dengan ibunya berasal dari Pasin. Justeru undi anak muda dan golongan Bumiputera mungkin akan mengalir di sini.

Cardock pasti menggunakan sepenuhnya pengaruhnya di media sosial, terutama live hariannya untuk pilihan raya kali ini untuk menjual agendanya, yang terkenal dengan tagline YB: Yang Beracun.

Jika calon lain terkial-kial membina pengikut untuk melaksanakan kempen, Cardock tidak mempunyai masalah dari sudut itu, kerana sejak bermain dengan live YouTube dan Facebook, pengikutnya berjumlah ratusan ribu dan pelbagai lapisan.

Cuma tinggal kepada rakyat di kawasan itu menilai agenda yang dilemparkan dan apakah mereka ini sesuai untuk diangkat sebagai wakil rakyat.

Pada 2016, Dun Dudong dimenangi Tiong Thai King setelah memperoleh 9,700 undi menewaskan penyandang daripada DAP, Tap Hoi Liong (7,554 undi); Benny Lee (Bebas) 3,288 undi, Casper Kayong Umping (Bebas) -228 undi dan calon STAR, Ting Yiik Hong (152 undi).

Dengan berhadapan cabaran calon yang lebih muda dan lebih terkenal dalam media sosial, King Sing tidak hanya perlu berjanji dalam PRN kali ini, tetapi perlu menyediakan elemen out of the box bagi menampakkan dirinya lebih menonjol.

Hanya dengan itu, beliau dapat memberikan saingan terbaik, sekali gus mengesahkan diri sebagai pemenang dalam pemilihan kali ini.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Lain-lain

Gibran di mata Prabowo

PEMILIHAN presiden (Pilpres) Indonesia berlangsung 14 Februari 2024. Sejumlah survei