Siapa diktator?

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

BARU-BARU ini bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah kerajaan diktator dan zalim.

Sebabnya?

Perdana Menteri tidak membenarkan orang ramai terutama parti lawan mengkritik atau meluahkan rasa tidak puas hati terhadap pentadbiran semasa.

Mahathir mendakwa program Proklamasi Melayu yang sepatutnya menampilkan beliau telah dibatalkan.

Mahathir mengkritik kerajaan kerana tidak membenarkan program itu berlangsung dan berkata, orang Melayu ada hak untuk berkumpul dan suara mereka didengari.

Beliau menangkis dakwaan dan tuduhan bahawa dirinya diktator.

“Diktator mana yang letak jawatan?” tanya beliau.

Mahathir telah berundur pada 2003 selepas 22 tahun memerintah.

Menggunakan alasan, dia berundur sendiri sedangkan diktator tidak akan berbuat demikian, bukan alasan kukuh untuk seseorang mengisytiharkan dirinya bukan diktator.

Perlakuan dan tindakan lain yang dilakukan oleh seseorang pemimpin waktu pemerintahannya perlu juga dinilai, dan bukannya berdasarkan faktor berkenaan semata-mata.

Siapa sebenarnya diktator?

Anwar atau Mahathir?

Hakikatnya, seluruh dunia tahu, dalam tempoh dua dekad memerintah, pemimpin berusia 97 tahun itu telah menggunakan pelbagai instrumen hegemoni kerajaan untuk mengekang dan mengawal musuh politiknya.

Adakah ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri, beliau membuka ruang seluas-luasnya untuk parti lawan mengkritik beliau?

Adakah mereka bebas bersuara dan bebas untuk berhimpun?

Ketika media sosial belum lagi muncul, Mahathir menggunakan pelbagai akta dan undang-undang untuk mencengkam suara lawan dan musuh politiknya.

Mereka yang membesar dan hidup pada zaman pemerintahan Perdana Menteri keempat itu tentu tahu bagaimana corak pemerintahan dan pentadbiran beliau.

Baca lain  Derita gangguan emosi

Saya lebih daripada tahu tentang strategi dan bentuk kawalan dan cengkaman terhadap media yang dilakukannya kerana saya membuat kajian tentang kawalan dan kebebasan media di bawah pemerintahan beliau dari 1981 hingga 2003.

Antara alat yang digunakan oleh Mahathir untuk membungkam musuh politik beliau ialah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Rahsia Rasmi.

Anak Anwar, ketika itu Ahli Parlimen Permatang Pauh terpaksa mempertahankan kenyataannya bahawa Mahathir ialah bekas diktator seperti yang dinyatakannya kepada sebuah akhbar Singapura pada Mac 2019.

Dalam kenyataan itu, Nurul Izzah meluahkan isi hati beliau yang sukar bekerja dengan ‘bekas diktator’ yang didakwanya menyebabkan pelbagai kerosakan, bukan sahaja dalam kehidupan keluarganya, malah pemerintahan negara.

Beliau menegaskan itu ialah fakta yang diketahui semua orang.

Hakikatnya, rakyat yang membesar pada zaman pentadbiran Mahathir dapat menilai sendiri dengan objektif apa-apa yang berlaku ketika itu.

Adakah Mahathir sudah lupa akan tindakan terhadap musuh politik ketika pemerintahannya?

Mungkin kerana faktor usia, beliau sudah lupa bahawa sebenarnya banyak perhimpunan melibatkan kaum tidak dibenarkannya ketika itu.

Sementara itu, adakah nasib Melayu di Semenanjung begitu teruk hanya selepas Anwar memerintah sehingga Mahathir mendakwa bahawa Melayu tidak lagi terbela.

Perlukah Mahathir mengadakan satu lagi proklamasi untuk membela dan mempertahankan nasib dan masa depan Melayu?

Apakah yang dilakukan oleh Mahathir selama 22 tahun dan 22 bulan memerintah?

Baca lain  Komuniti setempat pilih ketua masyarakat

Adakah Melayu memang tidak terbela? Kita wajar bertanya soalan asas ini.

Hal ini kerana, semua Perdana Menteri sejak 1957 ialah Melayu, pemimpin tertinggi negeri dan institusi hampir semuanya diterajui Melayu.

Perlembagaan Persekutuan juga memberi perlindungan khas kepada Melayu.

Begitu banyak dasar dan inisiatif, termasuk Dasar Ekonomi Baharu memihak kepada Melayu.

Apa jadi dengan Kongres Maruah Melayu yang bertujuan membincangkan perihal dan masa depan orang Melayu pada 2019 ketika Mahathir menjadi Perdana Menteri?

Atau kongres itu tidak lebih daripada wayang politik Mahathir? Perlukah kita adakan lebih banyak lagi kongres Melayu?

Saya fikir, sudah sampai waktunya untuk pemimpin Melayu meneliti dan melaksanakan usul atau resolusi relevan yang pernah dibentangkan dalam puluhan kongres Melayu oleh pelbagai pihak sebelum ini.

Terlalu banyak kongres dan proklamasi serta usul telah diadakan. Ini masa untuk melaksanakannya.

Mahathir tidak perlu mengadakan satu lagi kongres atau proklamasi semata-mata untuk menyemarakkan sentimen kaum.

Atau hanya untuk memastikan beliau terus relevan di mata orang Melayu.

Sedangkan sebenarnya, beliau tidak sedar bahawa beliau sudah tidak lagi relevan.

Beliau bukan sahaja kalah teruk, malah hilang wang pertaruhan di kerusi Parlimen Langkawi pada PRU-15.

Semua calon Pejuang pimpinannya juga tewas.

Apa lagi yang Mahathir mahu?

Masalah Mahathir, ialah semua pemimpin lain tidak sempurna di matanya.

Hanya dirinya yang serba sempurna.

Semua pemimpin selepas beliau dikritiknya.

Baca lain  Bas sekolah percuma di Sarawak

Tidak ada yang terlepas daripada kritikannya.

Tanpa niat memperkecil sumbangannya, beliau sebenarnya berjaya memoden dan mentransformasi Malaysia.

Tidak hairanlah beliau dinobatkan sebagai Bapa Pemodenan Malaysia.

Memang banyak kejayaan diukir di bawah pemerintahannya termasuk dari segi prasarana, ekonomi, pendidikan dan corak pemikiran rakyat.

Beliau menggagaskan Wawasan 2020.

Namun, beliau juga banyak merosakkan institusi negara ini.

Beliau ditentang sengit oleh Tengku Razaleigh Hamzah untuk jawatan presiden Umno pada 1987.

Mahathir hanya menang tipis dengan 43 undi.

Pada tahun itu juga, 119 orang termasuk pemimpin pembangkang dijaring di bawah ISA yang kini sudah dihapuskan.

Beliau memecat Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 1998.

Tak lama kemudian, Anwar ditangkap dan menjadi tahanan di bawah ISA yang zalim.

Mahathir perlu akui hakikat. Zamannya sudah berlalu.

Pengaruh dan popularitinya telah merudum terutamanya selepas tumbangnya Kerajaan Pakatan Harapan pimpinannya.

Prestasinya dalam tempoh 22 bulan memerintah tidak dapat dibanggakan, malah amat mengecewakan.

Kejatuhan kerajaan itu bikinannya sendiri.

Justeru, Mahathir perlu beri peluang kepada Anwar untuk memimpin negara, dan tidak perlu mengganggu beliau dan Kerajaan Perpaduan demi kestabilan.

Juga supaya kerajaan sekarang dapat tumpukan perhatian kepada usaha memajukan negara dan menangani isu rakyat.

Adakah orang Melayu dan rakyat negara ini masih mahu percaya kepada Mahathir?

Adakah rakyat masih rindu akan pimpinan beliau?

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Kekurangan guru

BERITA yang menyatakan bahawa Sarawak kekurangan sekitar 3,000 guru tentu

KWSP talian hayat

BAGI pekerja swasta, sebahagian penjawat awam dan mereka yang bekerja

Raya pilihan raya

KITA masih lagi meraikan rumah terbuka Aidilftri. Rumah Terbuka Aidilfitri

Lain-lain

Awasi jerat penipu

SEKITAR awal pagi Selasa lepas, saya menerima panggilan daripada seseorang.