ARTIKEL

WAN Junaidi (lima kiri), Abang Johari (tiga kiri) dan Dr Annuar (lima kanan) sama-sama 'menyalakan' meriam buluh sebagai gimik pelancaran majlis.

Sibu akan berwajah baharu dalam masa 15 tahun – Abang Johari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Pelaksanaan projek-projek membabitkan pembaharuan bandar Sibu melalui Projek Pembangunan Semula Bukit Assek akan bermula pada 2026.

Perkara ini diumumkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, semasa menghadiri Majlis Ramah Tamah Hari Raya Aidilfitri Bahagian Sibu di sini pada malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seluruh Sibu akan berwajah baharu dalam masa kira-kira 15 tahun akan datang setelah projek itu dijangka siap dalam masa tersebut.

Jelasnya, projek itu akan dijangka siap pada 2040 dengan pelaksanaannya dalam empat fasa.

“Sekarang pelan induknya sudah disiapkan dengan butiran lanjut mengenainya akan siap dalam suku pertama tahun 2025 untuk membangunkan Bukit Assek,” katanya.

Setelah siap nanti, katanya, projek ini akan mengubah seluruh bandar Sibu seperti Singapura.

Menurut beliau lagi, terdapat sungai kecil yang mengalir di tengah-tengah Bukit Assek yang akan mencantikkan lagi pemandangannya di samping projek tebingan sungai yang turut dirangkumi projek itu.

Abang Johari juga berkata, apabila terlaksananya projek itu nanti, sektor pembinaan akan bertambah rancak pada tahun-tahun akan datang, dan ini boleh menjadi satu suntikan kepada ekonomi Sibu.

Bagi merancakkan lagi laluan infrastruktur ke Sibu, beliau mengatakan bahawa kerajaan juga bercadang untuk membina infrastruktur jalan baharu di Kapit bagi mengatasi masalah kesesakannya.

Dengan banyak projek infrastruktur perhubungan yang sedang giat dilaksanakan kerajaan ketika ini, tegasnya, seperti jambatan dan jalan pesisir di beberapa kawasan di Sarikei, Belawai, Kuala Rajang, Daro, Serdeng dan Batang Igan, rakyat dapat bergerak dengan lebih selesa, khususnya ke Sibu, apabila ia siap menjelang 2030.

“Semua perbelanjaan infrastruktur ini ditanggung oleh Kerajaan Sarawak sendiri.

“Ini bermakna Sarawak boleh membangunkan infrastrukturnya apabila kita mempunyai perolehan hasil sendiri.

“Kejayaan kita membangunkan negeri sendiri adalah disebabkan oleh kestabilan politik kita,” kata Abang Johari.

Dianggarkan lebih 2,000 hadirin telah memeriahkan majlis berkenaan yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berserta isteri, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi.

BERITA LAIN

RM35,000 untuk ganti paip graviti lama

PAKAN: Sejumlah RM35,000 telah diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih bagi membeli dan menggantikan batang paip graviti lama sekolah tersebut untuk kegunaan seharian mereka.

BERITA TERBARU

PMNS komited perkasa pembangunan sukan Muaythai

BINTULU: Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) komited memperkasa pembangunan sukan Muaythai di negeri ini. Usaha ke arah itu tampak jelas apabila badan induk berkenaan menganjurkan