Sibu jadi transit orang elak masuk pusat kuarantin

KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akan melihat untuk mengurangkan penerbangan ke Sibu sekiranya tempat kuarantin di situ tidak mencukupi.

Pengerusi JPBNS Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata pihaknya kini sedang memantau Sibu kerana ia telah dijadikan sebagai pintu masuk orang ke negeri ini, yang ingin mengelak daripada dikuarantin di pusat kuarantin disebabkan bilik hotel yang tidak mencukupi.

“Kami mendapati ada juga orang Sarawak pintar, kerana dia tahu Sibu tidak cukup bilik hotel jadi kalau terbang masuk ke Sarawak melalui Sibu, kemungkinan mereka dikuarantin di rumah sangat tinggi…kami ada data yang menunjukkan perkara ini.

“Tetapi tindakan itu sangat bahaya kerana ada kes di Bintulu, di mana dia diberi kuarantin di rumah dan didapati positif,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di Sarawak, di bangunan DUN lama di sini hari ini.

Menurutnya buat masa ini, kadar penerbangan ke Sibu masih dikekalkan dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sibu sedang berusaha memastikan tempat kuarantin mencukupi.

Sementara, Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri mengingatkan rakyat agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelak penularan Covid-19.

Katanya rakyat masih leka apabila telah membuat kunjungan semasa sambutan Hari Krismas yang lalu serta berkumpul tanpa penjarakan fizikal, walaupun sudah diberi nasihat sebelum ini.

“Kita belum menang, walaupun angka kita nampak rendah tetapi ia menunjukkan peningkatan dan membimbangkan kita.

“Saya berharap semasa sambutan tahun baharu nanti, orang ramai mengelak berkunjung ke rumah kawan dan berkumpul melebihi 30 orang dalam sebuah rumah kerana kita tidak tahu, Covid-19 boleh berada di mana-mana dan menjangkiti semua orang,” katanya.