SKUAD dari wilayah tengah, Sibu berazam mahu mengekalkan momentum hebat pada Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Taib 2023 yang akan berlangsung di Mukah pada 14 hingga 21 Oktober depan.
Mereka sedia mengulangi prestasi mantap mengungguli kumpulan Zon Mukah, Liga Bola Sepak SSC-FAS Bawah 20 Tahun baru-baru ini. Setiausaha Kehormat, Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu, ASP Kushairy Bujang memberitahu, pihaknya sedar cabaran bakal dilalui kesemua lapan pasukan terbaik yang berentap untuk piala berprestij itu.
Namun, tekad untuk mengekal prestasi terbaik selain berhasrat mahu melakukan kejutan pada kejohanan itu kelak yang merupakan antara sasaran awal pasukan terbabit. “Kita (Sibu) tampil dengan reputasi sebagai pasukan “underdog”.
Namun, pada masa sama kami juga menyimpan keinginan untuk cuba mengekalkan momentum terbaik sebagai mana ditampilan di Liga SSC-FAS Bawah 20 Tahun Zon Mukah baru-baru ini,” ujarnya kepada Arena Suara Sarawak. Skuad Sibu di bawah kendalian bekas kapten Sarawak, Sharol Saperi tampil dengan kejutan apabila menjuarai kumpulan Zon Mukah. Mereka menamatkan saingan di tangga teratas, dengan tujuh mata, mencatat dua kemenangan dan sekali seri. “Kita ada masa kurang sebulan sekarang dan ia harus dimanfaat dengan sebaik mungkin untuk memperkemaskan pasukan,” tambah beliau lagi. Satu lagi pasukan dari Zon Mukah yang akan berentap dalam Piala Taib 2023 ialah Mukah B. Enam lagi pasukan lain ialah Sri Aman B, Kuching (Zon Sri Aman), Serian, Sarikei (Zon Betong), Bintulu B dan Miri (Zon Bintulu).