Sibu tidak banjir lagi

SIBU: Kerajaan Sarawak bersetuju untuk membiayai serta melaksanakan Projek Tebatan Banjir Fasa 4 di Sibu.

Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee berkata, projek itu menelan belanja kira-kira RM120 juta itu akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Projek merangkumi satu stesen pam di sebelah Hotel Paramount yang membabitkan Jalan Lanang,” katanya kepada pemberita ketika meninjau tapak Projek Tebatan Banjir Fasa 3 di sini, semalam.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu juga memberitahu bahawa perunding projek tersebut akan dilantik menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya lagi, projek tebatan banjir di Sibu dimulakan pada 2008 yang melibatkan pembinaan tebing dengan menaikkan permukaan jalan di sepanjang sungai dan membina stesen pam dan kolam penahan.

“Fasa 1 dan 2 selesai dengan ketinggian jalan dari Jalan Lanang ke persimpangan Jalan Ek Dee sudah dinaikkan dan tiga stesen pam dibina untuk merangkumi kawasan itu dari banjir.

“Dua lagi stesen pam dibina di bawah pakej rangsangan persekutuan beberapa tahun lalu.

“Fasa 3 sedang berlangsung yang diharapkan akan siap pada tahun 2022.

Ini melibatkan pembinaan dua stesen pam dan meninggikan permukaan jalan di sepanjang Kampung Datu di sebelah Batang Igan.

Tiga fasa ini dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan,” tegas Adun Nangka itu lagi. Sementara itu, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak Datuk Chok Moi Soon berkata, projek fasa empat menggunakan kaedah yang diuji bagi mengelakkan air sungai melimpah ke kawasan rendah.

Katanya, permukaan tanah di kawasan rendah di Sibu adalah 2.5 meter sementara Sungai Rejang semasa air pasang permukaan air berkisar antara 2.2m hingga 2.8m.

“Ketika hujan lebat ketika air pasang, kawasan rendah akan ditenggelami air.

“Projek ini akan bertindak sebagai penghalang air pasang surut dari mengalir ke kawasan rendah dan pada masa sama pam akan mengepam keluar air hujan.

“Ada kolam penahan di belakang stesen pam untuk menyimpan air hujan yang berlebihan sebelum pam dapat membersihkannya,” jelasnya.

Chok berkata, pendalaman sungai bukanlah penyelesaian untuk masalah banjir di kawasan rendah.

“Kawasan pendalaman su-ngai itu bagaimanapun menjadi cetek kembali dalam beberapa bulan,” ujarnya. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Sri Dr Sim Kui Hian dan Ahli Dewan Negara Senator Robert Lau Hui Yew turut hadir.

Suara Sarawak