Sidang DUN bertafakur untuk mangsa Covid-19

KUCHING: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini dimulakan dengan bertafakur selama seminit untuk mangsa-mangsa Covid-19 yang telah meninggal dunia.

Speaker DUN Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar menerusi ucapan pemasyhuran berkata persidangan kali ini terpaksa diadakan dalam suasana yang cukup getir dengan mengutamakan langkah-langkah keselamatan kesihatan pada tahap tertinggi ekoran Covid-19.

“Maka tarikh dan masa persidangan ini telah ditetapkan kepada satu hari sahaja dengan mengambil langkah-langkah keselamatan kesihatan yang optimum seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia seperti penggunaan pelitup muka, cecair pembasmi kuman (hand sanitizers) dan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter,” katanya.

Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Timbalan-Timbalan Ketua Menteri, semua Menteri dan Menteri Muda, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, para doktor, jururawat, polis, tentera, Rela dan semua pihak di barisan hadapan yang telah bertungkus-lumus memastikan rakyat dalam keadaan yang selamat serta dihindari dari Covid-19.

“Semoga dengan pelbagai usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak ke arah menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat, negeri kita akan terus maju ke hadapan di landasan yang betul dan terus selamat didiami serta aman makmur,” katanya.

Asfia juga berkata persidangan turut berlangsung tanpa aturcara istiadat seperti kelazimannya.

Selain itu, katanya ia juga diperlukan untuk meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan iaitu RUU Perbekalan Tambahan (2019), 2020 dan RUU Perbekalan Tambahan (2020), 2020.