Trending

Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Dunia 2022; Abang Johari tonjol cara Sarawak percepatkan ekonomi hidrogen

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak dan Pameran Hidrogen Dunia 2022 yang dihoskan oleh bandar Rotterdam, Belanda dari 9 hingga 11 Mei ini.

Beliau akan menyertai kira-kira 3,500 pemimpin kerajaan dan industri dari seluruh dunia untuk meneroka teknologi hidrogen, aplikasi dan penyelesaian terkini bagi merevolusikan industri berkenaan.

Delegasi kemudian akan terbang ke Oslo, Norway untuk mendapatkan maklumat mengenai operasi dana kekayaan negara itu, yang Abang Johari jadikan sebagai model untuk dana serupa yang ditubuhkan oleh Kerajaan Sarawak bagi membawa lebih banyak pulangan kepada lebihan dana Sarawak pada masa depan.

Menurut Pejabat Premier Sarawak dalam kenyataan hari ini, rombongan Premier akan berlepas ke Rotterdam esok (Sabtu) dan dijadual tiba pada jam 7.45 malam waktu tempatan, dengan Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Nadzirah Osman akan hadir menyambut ketibaan rombongan di lapangan terbang bandar pelabuhan itu.

“Dalam slot selama 20 minit pada Isnin sempena permulaan sidang kemuncak, ucapan Abang Johari sebagai penceramah kedua akan berdasarkan tema “Mempercepatkan Ekonomi Hidrogen Global: Cara Sarawak” terutamanya untuk menonjolkan Sarawak sebagai wilayah yang semakin meningkat dalam arena tenaga boleh diperbaharui dan ia adalah bersedia untuk hidrogen.

“Sarawak adalah perintis dalam meneroka ekonomi hidrogen yang menyaksikan penubuhan kemudahan pengeluaran hidrogen pertamanya di Kuching dan menjalankan percubaan dua unit bas berkuasa hidrogen di jalan-jalan di ibu negeri,” katanya.

Kenyataan itu menambah, Sarawak kini sedang berunding dengan syarikat Korea dan Jepun yang berminat untuk melabur dalam penubuhan kemudahan pengeluaran di Bintulu bagi mengeluarkan hidrogen hijau dengan prospek pembelian balik oleh negara masing-masing.

Selain itu, katanya Premier juga telah menyatakan bahawa ART (Transit Aliran Automasi) bandar raya yang dijadualkan siap pada 2025 juga akan dikuasakan oleh sel bahan api hidrogen sebagai sebahagian daripada program keseluruhan Sarawak untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau selaras dengan protokol Sidang Kemuncak Perubahan Iklim Negara-Negara Bersatu, Glasgow 2021.

Pada sebelah petang Isnin selepas menyampaikan ucaptama, Abang Johari bersama-sama delegasinya dijadualkan melawat pejabat Shell di Haque dan beliau akan diberi taklimat oleh eksekutif kanan Shell, yang antara lain mengenai masa depan Shell di Sarawak.

Pada pagi Selasa, delegasi Premier dijadual bertemu dengan Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Rotterdam dan kemudian pada sebelah petang, mereka akan dibawa melawat pusat teknologi Shell di Amsterdam yang mempamerkan teknologi hidrogen dan pelbagai inovasi baharu lain syarikat multinasional itu.

Delegasi akan terbang ke Oslo pada Rabu.

Antara yang mengiringi Premier ialah Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Jaul Samion, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Dr Hazland Abang Hipni, Setiausaha Kewangan Negeri, Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Pengarah Unit Perancang Ekonomi, Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Pengerusi Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Hussain, Pengerusi Sarawak Energy Berhad (SEB), Datuk Amar Hamed Sepawi dan Ketua Pegawai Eksekutif SEB, Datu Sharbini Suhaili.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru