KOTA SAMARAHAN: Penubuhan Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) yang pertama di negeri ini akan menjadi asas kepada Sarawak mempercepatkan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan modal insan.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pusat itu sejajar dengan inisiatif Sarawak untuk membangunkan industri bioperubatan di bawah Strategi Pembangunan Pasca-Covid (PCDS 2030).
“Penubuhan pusat ini tepat pada masanya kerana negeri itu perlu mula membangunkan keupayaan dan kepakaran sendiri sebagai persediaan menghadapi sebarang ancaman wabak akan datang.
“Menjadi satu penghormatan bagi kami untuk melancarkan bangunan ini yang didedikasikan untuk pembangunan dan pengkomersilan produk serta perkhidmatan untuk memerangi penyakit berjangkit di Sarawak dan seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Pecah Tanah Pusat Penyakit Berjangkit Sarawak (SIDC) di sini, hari ini.