Siet Sisam makanan unik di tengah hutan

MUKAH: Suatu ketika dahulu di tengah-tengah hutan belantara, kita dapat mendengar suara gelak ketawa seisi keluarga yang berkumpul makan tengah hari. Menariknya, bukan makanan biasa-biasa kerana mereka gembira makan Siet Sisam.
Apa Siet Sisam?
Mereka yang berbangsa Melanau tahu apakah benda yang bernama siet.
Siet ialah sejenis ulat yang hidup di dalam batang rumbia dan menjadikan makanan tradisional suku kaum yang mendiami kawasan Mukah.
Siet Sisam pula bermaksud ulat rumbia cincang.

Menariknya, ia dicincang dengan sagu yang diletak di dalam ukap – pelepah rumbia – dan memecah kesunyian hutan, dipenuhi dengan gelak ketawa anak cucu ditambah dengan permandangan kehijauan pokok sagu itu. Namun kini makanan tradisional itu semakin jarang lagi dihasilkan.
Malah kini terhad untuk dihidang kepada mereka yang benar-benar ingin menikmatinya, yang rajin dan berminat menghasilkannya.
Menariknya, Siet Sisam dihasilkan bukan hanya melalui cincangan sebaliknya ulat rumbia perlu dicampur sebati dengan sagu yang dibakar.
Mengimbau kembali kenangan suatu ketika dahulu Selahat Sera 82, salah seorang penduduk di Kampung Tellian Daya di sini menganggap menyediakan juadah SieSisam merupakan pengalaman tidak dapat dilupakannya bersama-sama arwah isterinya sewaktu masuk ke dalam hutan.
“Kami akan masuk ke dalam hutan di pinggir kampung.


Batang rumbia yang sudah matang ditebang, dibiarkan untuk tempoh 40 hari sebelum dikorek isinya untuk mencari ulat sebelum bertukar menjadi kumbang.
“Manakala ukap akan dipotong, dibersihkan sebagai untuk dijadikan tempat mencincang.
Ulat yang kita dapat ini akan diletakkan di dalam dan dicincang dengan parang dan sagu serta sedikit garam hingga ia menjadi lumat,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.
Tambahnya lagi, Siet Sisam sesuai dimakan dengan daun paus – sejenis ulam dari pokok hutan yang begitu sukar dicari sekarang.

“Ia menggambarkan kehidupan penuh survival. Dulu air di hutan sana sangat bersih dan jernih, ia dapat diminum dengan selamat.
“Namun kini, tidak lagi kerana pembangunan yang semakin pesat menjadikan airnya tidak selamat.
Kini, Siet Sisam menjadi sedap apabila dimakan dengan teh panas,” katanya.
Pastinya juadah tradisional ini katanya, lemak dan paling penting, ia dapat dinikmati bersama-sama keluarga.
“Paling banyak kita hasilkan Siet Sisam dalam satu ke dua kilogram untuk satu juadah. Ia harus diletakkan di dalam ukap,barulah rasanya tulen,” katanya lagi ketika ditemui menikmati juadah berkenaan bersama-sama keluarganya, semalam.

Kini juadah tersebut dapat dihasilkan sendiri untuk dinikmati sesiapa yang mahu mencubanya di rumah.
Ingin mencuba?
Datanglah ke Mukah dan bertemu sendiri dengan penduduk yang masih mencari ulat rumbia sebagai pendapatan keluarga.