Sifar kes positif Covid-19 di Sarawak hari ini

KUCHING: Sarawak kembali merekodkan sifar kes positif Covid-19 apabila tiada kes dikesan hari ini.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Tan Sri James Jemut Masing berkata ini menjadikan keseluruhan kes kekal sebanyak 1,062 kes.

Malah, katanya tiada kluster baharu dilaporkan namun masih terdapat enam kluster yang aktif iaitu Kluster Besi, Kluster Jalan Abell, Kluster Baki, Kluster Seladah, Kluster Greenhill dan Kluster Wisma Saberkas, yang kesemuanya di Kuching.

James Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata terdapat tiga kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj meningkat kepada 1,018 orang atau 95.86 peratus dari jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sarawak.

“Manakala, jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital adalah seramai 25 orang iaitu 22 kes di wad pengasingan di HUS, dua kes di Hospital Sibu dan satu kes di Hospital Miri,” katanya menerusi kenyataan harian mengenai perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Beliau memberitahu, setakat hari ini juga terdapat 17 individu dalam siasatan (PUI) baharu telah dilaporkan dan satu PUI yang masih menunggu keputusan ujian makmal.

“Selain itu, seramai 306 individu di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 34 buah hotel dan SC Bukan Hotel adalah seramai 3,680 orang dan seramai 33,965 PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin,” jelasnya.