Sifar kes positif Covid-19 dua hari berturut-turut di Sarawak

KUCHING: Sarawak merekodkan sifar kes positif Covid-19 untuk dua hari berturut-turut apabila tiada kes dikesan, hari ini.

Pemangku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Tan Sri James Jemut Masing berkata ini menjadikan keseluruhan kes kekal sebanyak 1,062 kes.

Malah, katanya tiada kluster baharu dilaporkan namun masih terdapat enam kluster yang aktif iaitu Kluster Besi, Kluster Jalan Abell, Kluster Baki, Kluster Seladah, Kluster Greenhill dan Kluster Wisma Saberkas, yang kesemuanya di Kuching.

James Masing yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata terdapat dua kes baharu yang telah pulih dan dibenarkan discaj dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 yang telah pulih dan dibenarkan discaj meningkat kepada 1,020 orang atau 96.05 peratus dari jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Sarawak.

“Manakala, jumlah kes yang masih mendapat rawatan dan diasingkan di hospital adalah seramai 23 orang iaitu 20 kes di wad pengasingan di HUS, dua kes di Hospital Sibu dan satu kes di Hospital Miri,” katanya menerusi kenyataan harian mengenai perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Beliau memberitahu, setakat hari ini juga terdapat 24 individu dalam siasatan (PUI) baharu telah dilaporkan dan dua PUI masih menunggu keputusan ujian makmal.

“Selain itu, seramai 491 individu di bawah pengawasan (PUS) telah mendaftar masuk di hotel untuk menjalani kuarantin.

“Ini menjadikan jumlah keseluruhan PUS di 38 buah hotel dan SC Bukan Hotel adalah seramai 3,846 orang dan seramai 34,318 PUS telah tamat menjalani tempoh kuarantin,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau memberitahu setakat hari ini juga Daerah Kuching dan Miri kekal berstatus kuning dengan jumlah keseluruhan seramai 19 kes jangkitan tempatan dilaporkan dalam tempoh 14 hari yang lepas iaitu Kuching (16) dan Miri (tiga).

“Manakala 38 daerah lain kekal berstatus hijau,” katanya lagi.