ARTIKEL

Gambar Hiasan

Sik nyaman jangan makan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DI Sarawak selain agama, budaya dan pakaian – makanan merupakan benda paling sensitif jika orang luar menghina.

Bukan orang Sarawak tidak menerima kekurangan, tetapi menghina makanan kemudian menjadikannya tular di media massa memang mengundang kecaman seluruh rakyat Sarawak.

Ini yang berlaku apabila pengunjung dari luar negeri menyamakan laksa Sarawak seperti rasa jamu dan merakam video dia menutup hidung sambil cuba menyuap ke mulut dan tidak dapat menerimanya.

Dengan latar belakang mengejek dan ketawa yang memang mengundang satu keadaan yang tidak selesa, video itu kemudian tular di media sosial sehingga empunya video asli menutup akaun media sosialnya selepas menerima kecaman teruk.

Saya hendak perbetulkan maklum balas sesetengah netizen yang menyatakan, orang Sarawak tidak boleh dikritik kerana jika satu ditembak, seplatun akan membela. Itu benar.

Tetapi video yang tular itu bukan mengkritik, itu menghina. Kritik dan hina dua perkara berbeza.

Jika tidak suka, jangan makan dan jangan menghina makanan kami. Lagipun dalam Islam tidak boleh membudayakan hina makan, nabi tak suka.

Kalau tidak suka sekalipun, lebih baik diam daripada bercakap buruk tentang makanan.

Saya percaya dalam mana-mana agama pun, makanan adalah rezeki untuk disyukuri.

Menghina makanan seolaholah menghina rezeki yang Tuhan berikan kepada kita.

Sekali pun dihidang makanan yang tidak digemari, jangan sesekali mencela makanan apatah lagi mengejek dengan cara paling menjengkelkan. Ia boleh menyebabkan hilangnya keberkatan dan rezeki itu sendiri.

Semalam, saya ada membaca satu teguran untuk orang Sarawak tentang sikap sensitif terhadap pelancong yang datang ke negeri yang tidak menyukai makanan kita supaya tidak terlalu emosi mengenainya.

Saya rasa orang Sarawak bukan emosi, tetapi terasa dihina.

Kita sendiri pun, jika berasa makanan kita dihina orang lain, bohong jika tidak terasa.

Contoh paling dekat – jika seorang ibu memasak dan anaknya berkata tidak sedap pun ibu akan terasa hati.

Apatah lagi orang luar masuk ke negeri kita, mempersenda dan memperlekeh – bukan mengkritik – sudah pasti kita akan emosi.

Pernah ada kawan saya bergurau tentang linut yang katanya makanan dikategorikan orang hilang deria, dengan nada yang sungguh tidak dapat saya terima.

Saya terasa hati walaupun saya tidak menggemarinya tetapi sedikit banyak makanan kebanggaan etnik saya diperlekehkan.

Baginya linut cuma adunan tepung sagu yang diolah menggunakan air panas dan sesuai untuk manusia yang hilang deria rasa – dan makanan itu mungkin pelik baginya.

Jika dia berbicara tanpa nada dan memek menjengkelkan mungkin saya tidak terasa.

Tetapi bagi kami yang mewarisi makanan itu daripada nenek moyang berbangga apabila ramai yang bukan Melanau pun menggemarinya.

Sekali lagi saya perbetulkan – kita terima kritikan tidak sedap kerana sedap, tidak sedap itu subjektif dan berbeza bagi setiap manusia terutamanya apabila kita berada di negeri orang.

Misalnya jika kita ke Semenanjung dan dihidangkan dengan masakan patin tempoyak – mungkin bagi kita tidak sedap dan tidak kena dengan tekak tetapi bagi orang sana, itu sedap.

Mendakwa tidak sedap itu kritikan bukan hinaan.

Lain negeri lain makanan lain kesedapannya.

Begitu juga dengan pakaian kaum lain – ini salah satu benda yang teramat sensitif bagi orang Sarawak.

Ingat kes pempengaruh media sosial Ryzal Duriankimchi didenda sebanyak RM10,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Miri kerana mempersenda busana tradisional wanita Iban ngepan indu.

Ryzal menyamakan busana ngepan indu seperti duit syiling yang sepatutnya disimpan di dalam poket, tango sebagai kain alas peti televisyen, kain kebat atau kain karap sebagai kain buruk dan ngepan Iban sebagai langsir.

Selepas videonya tular, sebanyak 27 laporan polis yang dibuat terhadap Ryzal kerana dianggap tidak sensitif dengan budaya orang lain.

Jangan sesekali pandang remeh tentang budaya orang lain.

Sebab itu, di Sarawak kita saling menghormati budaya, busana, makanan, kepercayaan apatah lagi agama bangsa lain.

Malah dalam kehidupan sehalian pun, kita tidak boleh menghina apa-apa sahaja berkenaan individu lain.

Misalnya meremehkan hobi dan minat orang lain hanya kerana kita tidak meminati hobi tersebut. Atau yang lebih teruk menghina fizikal orang.

Tidak ada satu pun manusia di dunia ini berhak untuk mencela kekurangan orang lain.

Saya pernah ada kawan pisang mulut yang sering diejek kawankawan lain terutamanya suaranya yang sengau.

Dari segi peribadinya, dia begitu tertib tatkala menyusun bicara walaupun kedengaran sangat sukar menutur kata-kata.

Dia begitu menghormati orang, sifat dan sikapnya baik, cuma cela itu yang dirasakan menjadi kekurangan padanya – dia seorang yang pisang mulut.

Dalam diam ada yang memanggilnya sengau dan mengajuk caranya bercakap.

Dia pun tidak mahu dilahirkan ke dunia sebagai manusia yang serba kekurangan.

Siapa yang mahu lahir penuh kekurangan, jika boleh semua mahu lahir sempurna, wajah jelita kacak, hidung terletak dan tubuh badan sempurna.

Kekurangan manusia lain tidak memberi hak kepada kita untuk menghina atau memperlekehkannya.

Tetapi itulah yang kerap berlaku dalam dunia realiti. Ramai kini yang semakin menjadi-jadi dengan perbuatan mempersenda fizikal orang lain terutamanya di media sosial seterusnya disebarkan dan menjadi tular.

Kita duduk di negara yang penuh keharmonian.

Malaysia mempunyai masyarakat berbilang agama dan budaya yang pada asasnya hidup secara aman dan damai.

Kepelbagaian ini satu keunikan yang sepatutnya dirai dan menjadi kebanggaan rakyat kita.

Keharmonian dalam kemajmukan ini menjadikan Malaysia negara yang sering dicontohi masyarakat antarabangsa, namun sebagai negara dengan rakyat berbilang kaum dan budaya, kita harus sentiasa sensitif dengan agama, budaya dan kaum masingmasing.

BERITA LAIN

Mencapai Arafah

SEKITAR 1.5 juta umat Islam berkumpul di Makkah tahun ini mengerjakan ibadah haji. Daripada jumlah tersebut, turut serta 31,600 jemaah haji Malaysia, selain penyertaan terbesar

Tulisan beracun

MATA pena lebih tajam daripada mata pisau. Sama seperti pisau yang dapat digunakan untuk mengukir, alat yang sama juga dapat digunakan untuk membunuh. Pisau dapat

Skuad termahal buru juara

JIKA bercakap mengenai bola sepak, sudah pasti kebanyakan peminat menggemari kelab yang beraksi di Liga Perdana Inggeris. Ini kerana kebanyakan kelab seperti Arsenal, Manchester United,

Sayangi anak istimewa

HIDUP impikan kesempurnaan. Dahulu impian saya nombor satu memiliki anak-anak yang sihat, sempurna fizikal, beradab dan pandai sekolah dan panjang umur. Saya tidak impikan benda

Harapan selepas SPM

SABAN tahun ribuan pelajar di seluruh Malaysia mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Ia adalah peperiksaan penting, sebagai detik permulaan anak-anak muda

BERITA TERBARU

Tiga lelaki tiba-tiba rebah akibat rokok tercemar

BERLIN, Jerman: Dua lelaki tiba-tiba rebah semalamselepas menghisap rokok yang mengandungi bahan tidak diketahui, lapor agensi berita Jerman (dpa). Rokok berkenaan dipercayai dibeli daripada penjual