KUCHING: Peningkatan kes kanser di Sarawak, termasuk 471 kes kanser kolorektal yang direkodkan pada tahun 2026, meningkatkan keperluan terhadap kepakaran dalam penjagaan stoma, kontinens, dan rehabilitasi bagi menyokong pesakit sepanjang tempoh rawatan serta pemulihan.
Timbalan Premier, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian berkata, perkembangan itu menunjukkan keperluan untuk memperluas skop penjagaan pesakit agar tidak hanya tertumpu kepada aspek pembedahan dan pengurusan stoma.
Katanya, aspek kontinens dan rehabilitasi juga perlu diberi perhatian bagi memastikan pesakit menerima sokongan secara menyeluruh, termasuk selepas menjalani rawatan.
“Kita mahu pesakit mendapat lebih banyak sokongan,” katanya.
“Kita mahu pihak industri tampil dan berbincang dengan kita mengenai bagaimana kita boleh bekerjasama, termasuk kumpulan berkepentingan pesakit, kumpulan sokongan kendiri, dan semua pihak yang berkaitan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Simposium Stoma dan Kontinens Sarawak Ke-3 2026, hari ini.
Kontinens merujuk kepada keupayaan normal tubuh untuk mengawal pundi kencing atau usus.
Berdasarkan rekod beban kerja klinik bagi tempoh 2021 hingga 2025, jumlah kes kanser baharu di Sarawak meningkat daripada 2,114 kes pada 2021 kepada 2,955 kes pada 2025.
Dalam tempoh sama, jumlah kes susulan turut meningkat daripada 18,737 kes kepada 24,253 kes, manakala keseluruhan beban kerja klinik meningkat daripada 20,851 kes kepada 27,208 kes.
Bagi tahun 2026 pula, sebanyak 2,995 kes kanser baharu direkodkan.
Daripada 10 jenis kanser utama, kanser kolorektal yang merangkumi kanser kolon dan rektum mencatatkan 471 kes, sekali gus menjadikannya jenis kanser kedua tertinggi selepas kanser payudara.
Mengambil pembangunan Pusat Jantung Sarawak sebagai contoh, Dr. Sim berkata kejayaan sesebuah institusi bergantung kepada kekuatan sumber manusia, budaya kerja, nilai, penyelidikan, dan komitmen yang dibina secara berterusan.
Menurutnya, kredibiliti Pusat Jantung Sarawak kini turut mendapat pengiktirafan di peringkat serantau apabila sebahagian pakar kardiologi dari Malaysia dan Indonesia pernah menerima latihan di institusi berkenaan.
Beliau berkata, pengalaman itu boleh dijadikan contoh dalam membangunkan kepakaran penjagaan stoma dan kontinens, sekali gus membolehkan Sarawak membina reputasi sebagai pusat rujukan dan kepakaran dalam bidang berkenaan.
“Kita tidak mahu hanya menjadi kaya,” katanya.
“Kita mahu menjadi negeri yang dihormati kerana mempunyai kepakaran yang berkualiti dan bagus dalam apa sahaja bidang yang kita lakukan,” katanya.




