Simanggang bukan lagi bandar mati

KEHADIRAN Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ke Bandar Simanggang hujung minggu lalu bagai hujan rahmat kepada bandar merpati tersebut. Pernah dikenali sebagai bandar mati, Simanggang kini hidup semula setelah Kerajaan Negeri mula merancang pelbagai projek pembangunan di kawasan tersebut.

Selain Tebingan Simanggang yang akan berwajah baharu, beberapa projek lain juga diyakini akan menukar landskap bandar bersejarah tersebut.

Antaranya pembinaan Dataran Bandar Baharu Simanggang, yang meyaksikan pembangunan bangunan moden dan bersepadu, termasuk pasar baharu, taman hijau yang berkeluasan tujuh hektar dan dewan suarah.

Turut dibangunkan di sini ialah muzium baharu di Rumah Sri Aman — premis yang menjadi saksi tamatnya penyerahan kalah komunis Paraku kepada Kerajaan Negeri. Di sinilah Tun Abdul Rahman Yaakub dan Bong Kee Chok menamatkan sengketa mereka dan Paraku meletak senjata beramai-ramai.

Selain itu, Ketua Menteri turut mengumumkan pembinaan benteng penahan hakisan benak di Kampung Hulu dan Hilir Sri Aman, sementara Kawasan Pembangunan Sri Aman (SADA) diwujudkan untuk mengurus dan memantau pembangunan yang berlaku di kawasan tersebut.

Tiga projek penting yang turut melibatkan Simanggang dalam tempoh terdekat ini ialah pembinaan Jambatan Batang Lupar dengan kos RM1 bilion, pembinaan jalan dari Lingga ke Sebuyau menerusi Projek Laluan Utama Kedua serta pembekalan air mentah dari Empangan Batang Ai, yang diyakini akan menamatkan krisis air yang berlaku di kawasan ini.

Abang Johari selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Negeri pada Isnin turut mengumumkan keputusan Kerajaan Negeri untuk mengkaji tulisan Sommerset Maugham tentang kehebatan dan keindahan Simanggang. Beliau mahu rumah tempat Sommerset tinggal dan berkarya dicari agar dapat dibangunkan sebagai sebuah pusat warisan.

Ternyata impian Abang Johari untuk Simanggang cukup besar, apatah lagi beliau sedar akan potensi tersembunyi bandar yang terkenal dengan buaya Bujang Senang itu. Kerana itu beliau mahu kawasan ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang diperlukan, agar dapat menarik perhatian pelancong dan pengunjung luar, seterusnya mengangkat nilai ekonominya.

Sri Aman sebenarnya tidak sunyi daripada produk pelancongan. Ia dikunjungi pengunjung kerana benaknya yang luar biasa selain kepopularan buaya legenda Bujang Senang. Justeru inisiatif untuk mewujudkan Santuari Buaya di Pulau Seduku perlu disegerakan kerana ia dijangka dapat memberi pulangan lumayan kepada penduduk setempat.

Mungkin sahaja mereka boleh menjadi pemandu bot, penyedia inap desa, malah pengendali restoran atau kedai makanan yang berkualiti. Usah lupa akan produk istimewa penduduk tempatan di sini seperti anyaman tikar mahupun produk berkaitan hidupan laut seperti ikan terubuk, udang galah Apek dan sebagainya.

Yang pasti, Simanggang dalam tempoh lima tahun lagi pasti lebih bertenaga dan memiliki lebih daya tarikan.

Suara Sarawak