ARTIKEL

Oo Saw Kee (kiri) dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini. | BERNAMA

Simbah OKU dengan air panas: Wanita dipenjara 10 tahun, denda RM6,000

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BALIK PULAU, Pulau Pinang: Seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyimbah seorang lelaki Sindrom Down dengan air panas ketika berada di dalam lif sebuah pangsapuri seperti yang tular di media sosial pada minggu lepas.

Hakim Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Oo Saw Kee, 39, selepas dia mengaku bersalah mencederakan A. Solairaj, 33, di I-Park Apartment di Bayan Lepas pada 19 April lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda serta sebatan.

Mahkamah turut memerintahkan jurujual itu menjalankan hukuman penjara bermula hari ini dan akan dipenjara 12 bulan jika gagal membayar denda.

Ahzal Fariz berkata mahkamah mendapati ia merupakan kesalahan yang serius, tidak berperikemanusiaan dan kejam terhadap seseorang istimewa yang tidak melakukan sebarang provokasi terhadap Oo ketika kejadian.

Hakim berkata mahkamah berkongsi sentimen masyarakat dan hukuman terhadap tertuduh juga sebagai peringatan kepada masyarakat agar tidak mengulangi perbuatan seperti itu terhadap Orang Kurang Upaya (OKU), sebaliknya mewujudkan persekitaran harmoni dalam kalangan rakyat majmuk di negara ini.

Berdasarkan pertuduhan, Oo dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa dengan menggunakan suatu alat panas yang boleh menyebabkan kelecuran iaitu sebuah botol air mengandungi air panas di Lif No. 2, I-Park Apartment, Jalan Rajawali, Bayan Lepas pada 9.24 pagi, 19 April lepas. 

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Nordin Ismail memohon mahkamah memberikan hukuman berat kerana kesalahan dilakukan dengan begitu kejam, dan video insiden dalam lif yang tular itu turut mengundang kutukan masyarakat.

Mohd Nordin juga meminta hukuman berat kerana berdasarkan kesan pernyataan saksi iaitu adik kepada mangsa, Solairaj melecur pada bahagian belakang badan, bahu dan leher akibat terkena air panas dan masih mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang dekat sini.

Bagaimanapun, peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Edric Loo yang mewakili Oo, merayu supaya jaminan minimum dikenakan atas alasan tertuduh seorang jurujual dengan gaji RM1,500 sebulan dan ia merupakan kesalahan pertamanya.

Pada Jumaat lepas, video insiden dalam lif berdurasi 20 saat itu tular di media sosial yang memaparkan seorang wanita menyimbah air panas terhadap seorang lelaki OKU, dan siasatan polis mendapati perselisihan faham disyaki menjadi punca kejadian itu. — BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU