Simpan 75 peratus pendapatan hasil minyak dan gas negeri

KUCHING: Cadangan mewujudkan Dana Kedaulatan Sarawak untuk rakyat negeri ini merupakan idea yang baik bagi memastikan generasi akan datang terus mendapat manfaat daripada hasil sumber minyak dan gas negeri.

Penganalisis politik Datuk Peter Minos berkata, cadangan tersebut harus dikaji dengan menjadikan Dana Berdaulat Norway sebagai contoh terbaik untuk berjaya.

“Sekitar 1960-an ketika mereka mula meneroka minyak dan gas di luar pesisir dan mendapatkan kekayaan yang besar, mereka menyimpan dan melaburkan semua hasil tersebut hanya untuk kepentingan dan dividen kepada rakyat.

“Dana tersebut sangat besar iaitu AS$1.1 trilion dan terbesar di dunia, faedah dan dividennya cukup untuk memberikan pendidi- kan dan perubatan percuma, pencen dan banyak manfaat untuk lima juta penduduknya,” katanya kepada Suara Sarawak, baru-baru ini.

Ujarnya, masyarakat Norway sangat bijak dan berfikiran futuristik, daripada menghabiskan perbelanjaan untuk perniagaan orang Arab, mereka terus melabur dalam pelaburan yang baik dan selamat di seluruh dunia.

Menurutnya, hasil tersebut telah menjadikan penduduk Norway paling bahagia di dunia tanpa kerisauan dan tekanan akibat pengangguran, penyakit dan lain-lain.

“Oleh itu, katakan jika kita mendapat hasil minyak dan gas dalam beberapa tahun akan datang melalui Petros, ia merupakan idea yang baik jika 75 peratus pendapatan tersebut disimpan dalam dana itu.

“Hanya menggunakan 25 peratus untuk kepentingan negeri seperti pembangunan kerana kita amat memerlukannya,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, idea logik dan asas bagi cadangan tersebut ialah minyak dan gas tidak bertahan selamanya dan para saintis menjangkakan semua rizab dunia akan bertahan paling lama hingga 2200.

“Justeru, marilah kita berdoa dan berharap Petros akan membawa hasil minyak dan gas yang lumayan dari pesisir pantai untuk membolehkan kita mempunyai Tabung Kedaulatan Sarawak yang besar demi kehidupan yang selesa dan stabil untuk generasi akan datang,” tambahnya.

Pada 13 November lalu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg semasa ucapan penggulungannya sempena Persidangan Dun berkata, Kerajaan Sarawak akan melakukan kajian menyeluruh sebelum mewujudkan Tabung Kedaulatan Sarawak untuk memastikan kerangka dan mekanisme pelaksanaan yang tepat akan tersedia untuk mengurangkan risiko berkaitan operasi dana tersebut.

“Kajian ini akan memastikan semua aspek utama dana yang dibentuk seperti perspektif kewangan, undang-undang dan operasi dipertimbangkan,” katanya sambil menambah Kerajaan Sarawak menyambut baik cadangan yang dibuat oleh beberapa Adun untuk melaburkan lebihan pendapatan demi kepentingan semasa dan generasi masa hadapan.