Simpan duit di bawah katil

KOTA SAMARAHAN: Rumah Seri Kenangan (RSK) Kuching memandang serius isu pengurusan simpanan kewangan penghuninya. Pengetua RSK Kuching Peter Gabong berkata, kebanyakan penghuni tidak mempunyai akaun bank sendiri dan menyimpan duit mereka di tempat yang tidak selamat.

“Ada sesetengah pelawat akan memberikan mereka sedikit wang saku, tetapi ada segelintir daripada mereka tidak berbelanja kerana segala keperluan disediakan di sini.

“Oleh kerana tidak tahu bagaimana hendak menggunakan duit tersebut, mereka menyimpan di tempat yang tidak selamat, misalnya di bawah katil, di dalam bakul dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.

Peter berkata, pihak RSK akan membuka satu akaun khas untuk para penghuni menyimpan duit simpanan mereka. “Kami akan kumpul dan merekodkan setiap simpanan mereka. “Apabila mereka perlukan duit, kami akan rekod semula berapa jumlah yang mereka perlu keluarkan agar mereka tidak ditipu,” ujarnya.

Peter menjelaskan, akaun simpanan ini adalah berbeza daripada akaun untuk Lembaga Pelawat RSK kerana akaun tersebut tidak akan dibelanja untuk keperluan peribadi penghuni.

Dedahnya, kebanyakan daripada penghuni RSK tidak tahu menggunakan teknologi digital, apatah lagi mengeluarkan duit daripada akaun simpanan menggunakan mesin ATM dan sebagainya.

“Ini adalah cara yang selamat, terutama bagi mereka yang tidak tahu untuk membelanjakan duit simpanan. “Tidak dinafikan ada segelintir daripada penghuni di sini keluar untuk membeli keperluan sendiri seperti barangan tambahan yang tidak disediakan.

“Malah ada yang pergi keluar dengan menaiki bas,” jelasnya. Peter juga berkata, terdapat penghuni yang mempunyai simpanan mencecah RM14,000 kerana wang mereka tidak dibelanjakan sejak menjadi penghuni di rumah berkenaan.

Foto RAMIDI SUBARI