ARTIKEL

Kredit: BERNAMA

Simpanan asas RM390,000 menjelang 2030

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Malaysia menyasarkan untuk meningkatkan tahap Kecukupan Pendapatan Persaraan kepada enam daripada setiap 10 ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mencapai penanda aras Simpanan Asas sebanyak RM390,000 pada usia 60 tahun menjelang 2030.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pada masa ini, hampir empat daripada 10 ahli KWSP berada di landasan untuk mencapai penanda aras tersebut di bawah Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan KWSP.

“Ini merupakan satu kemajuan tetapi masih terlalu ramai rakyat Malaysia yang berisiko kehabisan simpanan sepanjang tempoh persaraan yang mungkin mencapai selama 20 hingga 25 tahun,” kata beliau dalam ucaptama pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa 2026 anjuran KWSP di sini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Perdana Menteri berkata liputan turut menjadi satu cabaran berikutan jutaan rakyat Malaysia bekerja di luar sektor pekerjaan formal konvensional manakala sistem perlindungan sosial negara sebahagian besarnya dirangka berasaskan sektor tersebut.

Anwar menegaskan bahawa sistem negara perlu berkembang seiring dengan perubahan sifat pekerjaan.

“Terdapat satu lagi realiti yang perlu kita hadapi.

Bagi penggubal dasar, persaraan mungkin merupakan perancangan untuk tempoh 30 tahun.

Bagi isi rumah yang menguruskan perbelanjaan makanan, sewa rumah dan persekolahan, tempoh perancangan mungkin hanya sehingga hujung minggu.

“Meminta orang ramai membuat persediaan untuk tahun 2048 apabila mereka tidak pasti mengenai keadaan pada bulan depan bukan sekadar persoalan mengenai celik kewangan. Ia juga merupakan soal kemampuan kewangan,” kata Anwar.

Beliau berkata jaminan persaraan bermula dengan pendapatan, pekerjaan yang baik dan keupayaan untuk menabung secara konsisten serta agenda persaraan perlu bergerak seiring dengan agenda gaji.

Anwar berkata kerajaan memperuntukkan RM1.26 bilion untuk kebajikan warga emas, yang memberi manfaat kepada 180,000 rakyat Malaysia yang telah berusia selain memperluas pusat aktiviti bagi memastikan peningkatan usia tidak semestinya bermakna terasing.

Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia memerlukan sistem penjagaan berperingkat — daripada sokongan komuniti, makanan berkhasiat dan bantuan penjagaan di rumah hingga kepada penjagaan harian, penjagaan di rumah serta penjagaan warga emas di pusat penjagaan bagi mereka yang uzur atau menghidap demensia.

Sementara itu, Pengerusi KWSP Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata persediaan untuk masa depan memerlukan usaha bersama merentasi kerajaan, perniagaan, komuniti, keluarga dan individu dan setiap satunya memainkan peranan dalam mewujudkan keadaan yang membolehkan rakyat menjalani kehidupan yang baik pada setiap peringkat usia,” katanya.

Mohd Zuki berkata pengenalan i-Legasi mencerminkan kepentingan sokongan antara generasi, membolehkan ahli yang layak dengan simpanan persaraan yang mencukupi untuk memindahkan sebahagian ke akaun KWSP ahli keluarga terdekat, sekali gus membantu memperkukuh jaminan persaraan merentasi generasi. – Bernama

BERITA LAIN

Pelaburan RM218.5 bilion cipta 99,030 peluang pekerjaan

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,746 projek pelaburan yang diluluskan pada separuh pertama 2026 dijangka mewujudkan 99,030 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan

BERITA TERBARU

Samarahan tidak rela berputih mata

BINTULU: Skuad Samarahan bersedia mengharungi baki 90 minit aksi separuh akhir kedua menentang Bintulu di Stadium Bintulu, petang esok. Pasukan itu membawa bekalan kelebihan tiga