ARTIKEL

Karikatur: Ukee

Sinar Aidilfitri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HARI ini masuk hari ke-24 Ramadan, dan berbaki lima hari lagi Ramadan akan meninggalkan kita.

Sebagaimana saban tahun, sebaik bulan mulia ini masuk minggu kedua dan ketiga, maka pecutannya semakin pantas.

Bagi yang sibuk bekerja di pejabat atau di mana-mana sahaja memang tidak terasa.

Oleh itu, ramai yang suka bekerja sepanjang bulan ini, bagi mengelak rasa lama.

Namun jika diisi dengan aktiviti berfaedah, ia juga terasa begitu sekejap.

Jika awal Ramadan, bazar lauk-pauk, kuih-muih dan pelbagai aneka minuman yang menjadi tumpuan, tetapi kini mula beralih arah, ke bazar Aidilfitri, atau di pusat beli-belah, bagi memastikan segala persiapan dan kelengkapan raya mencukupi.

Satu Syawal tahun ini dijangka pada Rabu depan (10 April).

Ada yang merungut, gara-gara persiapan yang kurang lancar, lebih-lebih lagi menjelang sehari dua hari lebaran.

Entah berapa kali berulang-alik dari kedai runcit, pasar basah atau pasar raya, bagi memastikan keperluan tidak tercicir.

Ramai juga yang kelam-kabut, kerana baru sahaja menerima gaji, satu-satunya sumber harapan untuk menyerikan Aidilfitri.

Kalau ada bonus, ‘seri raya’ pasti berganda.

Kalau tidak pun, sekurang-kurangnya ada sedikit insentif daripada majikan.

Dapat gaji awal pun sudah dikira insentif. Kerana itu, keadaan di jalan raya dan pasar raya sangat sesak pada penghujung Ramadan terutama di bandar besar, kerana semuanya keluar sekali gus.

Lagi pula ada potongan harga runtuh, yang menjadi buruan golongan B40.

Lebih memburukkan keadaan, apabila 1 Syawal menjelma sehari lebih awal daripada tarikh asal, seperti pada 2022.

Jika di kampung, ayam dan itik yang sedang nyenyak tidur di dalam reban terpaksa ditangkap untuk disembelih.

Kambing yang sedang enak berehat di kandang setelah seharian meragut rumput, juga terpaksa dikorbankan dalam kegelapan malam.

Ramai yang bersekang mata, terutama kaum hawa, bagi memastikan rendang, kuah kacang, kari, ketupat dan lemang berada di atas meja, membangkitkan aroma pagi, yang disulami takbir Aidilfitri.

Yang pasti, ia adalah sebahagian daripada budaya kita, setiap kali menyambut Aidilfitri.

Suasana inilah yang akan menjadi kenangan indah suatu hari nanti, ketika segalanya tidak lagi dinikmati.

Bagi yang masih mendengar leteran ibu, dan ayah sehari sebelum raya, seharusnya amat bersyukur, kerana anda masih mempunyai orang tua untuk dicium tangan.

Suatu hari nanti, anda tidak akan lagi mendengar ‘suara keramat’ ibu dari dapur, dan tiada lagi ‘laungan indah’ ayah dari berandah.

Anda pasti merindui leteran mereka untuk selama-lamanya.

Hari Raya Aidilfitri bukan sekadar hari kemenangan besar bagi mereka yang menyempurnakan ibadah puasa sepanjang Ramadan, tetapi juga mempunyai makna tersembunyi, sama ada disedari, atau tidak.

Ia adalah hari sempurna untuk bersama-sama keluarga tercinta, mengukuhkan lagi ikatan kasih sayang. 

Oleh itu, bagi yang masih mempunyai ibu dan ayah, manfaatkanlah Aidilfitri semaksimum mungkin, kerana tiada hadiah yang lebih indah bagi mereka, selain daripada melihat anak-anak berada di sisi. Baliklah ke kampung halaman, bagi yang tinggal di bandar.

Sesungguhnya mereka tidak memerlukan lampu berkelip ribuan ringgit, kek 73 lapis, atau sepasang baju raya berjenama, tetapi cukuplah anda berada di depan mata mereka.

Hanya mereka yang sudah tiada orang tua, yang tahu bagaimana perasaan tanpa mereka di pagi raya.

Sehebat mana pun anda, dan sekental mana pun hati anda, pasti tewas dengan linangan air mata, apabila beraya tanpa mereka.

Begitu juga mereka yang mempunyai ibu atau ayah yang terlantar sakit, tidak mampu lagi berbuat apa-apa, hanya menghabiskan sisa kehidupan di atas katil, tanpa sepatah kata. Namun sekurang-kurangnya mereka masih ada… hanya kenangan lalu yang mengusik jiwa, melerai rindu.

Setiap yang berlalu akan terus pergi, kerana kenangan bergerak seiring masa, tidak akan kembali lagi.

Yang pasti, kita tetap bersyukur kerana menyambut Aidilfitri dalam keadaan aman dan harmoni, yang menjadi tradisi sejak turun-temurun.

Hanya musibah seperti wabak COVID-19 pada 2020 dan 2021, yang sedikit merosakkan suasana.

Ramai lagi rakyat di luar sana yang lebih malang, merayakan Aidilfitri, bukan sahaja dalam keadaan serba kekurangan, tetapi dalam keadaan peperangan.

Tahun lalu misalnya, pelarian Syria yang terkesan akibat perang saudara menyambut Hari Raya Aidilfitri jauh dari kediaman mereka.

Ratusan ribu orang awam berkhemah di wilayah Idlib barat laut terpaksa berpindah dari Damsyik, Homs, Hama dan Deraa ekoran serangan rejim Assad.

Abdulkerim Halil, yang berasal dari Maarat al-Numan, memberitahu Anadolu Agency bahawa mereka tidak dapat menyediakan apa-apa untuk menyambut hari lebaran kerana cengkaman ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi.

“Semuanya mahal. Hari raya semakin hampir dan kami tidak berkemampuan untuk membuat apa-apa persiapan dan membeli pakaian baharu untuk anak-anak kami,” rintihnya.

Hamide Mustafa, yang dipindahkan dari daerah Saraqib di Wilayah Idlib hampir tiga tahun lalu, turut mempunyai kisah yang sama.

“Terdapat perbezaan besar antara meluangkan masa cuti di kem dan kampung halaman anda,” katanya.

Hatice Enes, ibu kepada enam anak turut mendoakan agar mereka dikurniakan rahmat Allah SWT.

“Sebelum saya menetap di kem ini, kehidupan saya lebih baik. Namun segalanya telah berubah sekarang, walaupun bulan Syawal telah tiba, tiada kegembiraan dalam menyambutnya bagi saya… Syawal atau hari biasa sama sahaja,” katanya.

Yang pasti, tiada sinar Aidilfitri bagi mereka, malah tiada cahaya di hujung terowong.

Kita harus memanjat kesyukuran, kerana masih berpeluang untuk menyibukkan diri menjelang raya, masih boleh membeli-belah, menghias rumah, memasang pelita, satu nikmat keamanan dan kemakmuran yang tiada galang ganti.

Namun selagi Ramadan masih berbaki, manfaatkanlah ia sebaik mungkin dan sepenuh hati, demi ganjaran dan pahala yang berganda-ganda.

Kita tidak tahu, sama ada, ada lagi Ramadan untuk kita selepas ini. Salam Ramadan dan Selamat Hari Raya Aidilfitri 2024.

BERITA LAIN

Kita saling mengingati

PADA minggu depan minggu terakhir 20 pelatih universiti akan menamatkan latihan industri di organisasi kami. Sesungguhnya kami berbangga kerana menjadi pilihan universiti meletakkan pelajar mereka

Affandi Tahir, rakam sejarah melalui pita

BELIAU bukan seorang penyanyi. Beliau juga bukan seorang pelakon. Tetapi namanya cukup popular suatu ketika dahulu. Bukan hanya kerana ketampanannya, tetapi kerana beliau penyiar radio

Telus, sahih dan tepat

SEBELUM ada komputer dan telefon bimbit canggih seperti hari ini, wartawan bergantung kepada komputer di pejabat untuk menulis berita. Dan biasanya wartawan hanya akan berada

Ketagih subsidi

ISU berkaitan subsidi kembali hangat diperkatakan. Adakah pemberian subsidi sesuatu yang harus terus diamalkan ketika beban hutang negara semakin membengkak? Bagaimanakah reaksi rakyat apabila subsidi

Tragedi dunia maya Si Kucing Gendut

FAT Cat, 21, atau nama sebenarnya Liu Jie, selebriti dunia gamer – permainan popular Honour of Kings – namanya tiba-tiba melonjak di dunia maya khususnya

Zaman makin canggih, adab makin mundur

KETIKA masih kanak-kanak atau zaman sekolah sekitar tahun 90-an atau awal 2000, kita amat menghormati orang lebih tua terutama ibu bapa. Ini kerana kebanyakan kita

BERITA TERBARU