Sindiket judi dalam talian, jual penutup mulut dan hidung tumpas

PETALING JAYA: Sindiket judi dalam talian serta penipuan penjualan penutup mulut dan hidung tumpas dengan penahanan empat lelaki tempatan di sebuah pejabat di Kota Damansara di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal berkata ketika serbuan oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur kira-kira 3.00 petang itu, empat lelaki berusia antara 18 hingga 24 tahun didapati sedang leka menggunakan komputer dalam premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan lanjut, mendapati wujud aktiviti judi dalam talian serta penipuan penjualan penutup mulut dan hidung. Sindiket ini didapati telah beroperasi sejak enam bulan lepas sebagai pusat tambah nilai pertaruhan judi dalam talian selain menjalankan kegiatan penipuan penjualan penutup mulut dan hidung,” katanya pada sidang media di IPD Petaling Jaya di sini, hari ini.

Nik Ezanee berkata, sindiket berkenaan menggunakan beberapa akaun persendirian dan syarikat untuk transaksi pembayaran bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Sekyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya, sambil menambah pihaknya merampas pelbagai komputer, komputer riba dan telefon bimbit yang disyaki digunakan bagi kegiatan terbabit.

Dalam perkembangan lain, Nik Ezanee berkata pihaknya telah menahan 11 individu termasuk lima wanita warga Indonesia berusia 31 hingga 60 tahun di sebuah premis di Taman Sri Manja di sini, disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian.

“Mereka adalah tiga wanita Indonesia yang juga penjaga premis, enam individu tempatan termasuk seorang wanita serta dua lagi wanita warga Indonesia disyaki pelanggan,” jelasnya.

Beliau berkata premis terbabit didapati telah beroperasi sejak sebulan lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Selain itu, Nik Ezanee berkata, pihaknya turut telah mengenal pasti dua sindiket judi dalam talian yang aktif di sekitar Petaling Jaya iaitu We Chat dan VVIP.

“Saya tidak dapat memberikan maklumat lanjut mengenai sindiket ini kerana siasatan sedang dijalankan. Bagaimanapun, saya memberi amaran kepada sindiket ini bahawa pihak polis akan mengambil tindakan dan berusaha menjejaki mereka,” katanya.– BERNAMA

Suara Sarawak