Sindiket pemerdagangan orang dari Indonesia tumpas

KUCHING: Seorang kanak-kanak lelaki antara 17 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan hasil serbuan polis terhadap tiga buah kenderaan di tempat letak kereta sebuah hotel Batu 3, semalam.
Ketiga-tiga kenderaan terbabit telah diekori Pasukan Khas Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak selepas dikesan membawa masuk Pati menerusi kawasan Biawak, Lundu sekitar jam 1 tengah hari.
Komander Briged PGA Sarawak SAC Mancha Ata berkata, sindiket penyeludupan itu cuba membawa kesemua Pati ke hotel yang dipercayai sebagai tempat transit sebelum dihantar ke Sibu, Tatau dan Bintulu.
Dedahnya, hasil serbuan turut menahan empat individu warga tempatan dan seorang warga Indonesia, dipercayai tekong terhadap penyeludupan Pati berkenaan.
“Hasil pemeriksaan awal terhadap ketiga kenderaan itu berjaya menahan seramai 17 Pati, iaitu sembilan lelaki dan lapan orang wanita.
“Turut ditahan, empat warga tempatan dan seorang warga Indonesia yang menjadi tekong kepada sindiket ini,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, turut dirampas ketiga-tiga kenderaan iaitu kenderaan peribadi yang digunakan untuk aktiviti penyeludupan Pati.
Dedahnya, tangkapan dan rampasan tersebut melibatkan satu sindiket aktif penyeludupan Pati iaitu Geng Adi Tailo yang bergiat aktif di Sarawak.
“Kumpulan ini mempunyai rangkaian sindiket pemerdagangan orang dari Indonesia yang kumpulan Feri Yeni.
“Suspek warga Indonesia iaitu dalang utama sindiket bagaimanapun telah berjaya ditangkap,” tambahnya lagi.