Sindiket penipuan guna nama ahli politik untuk dapatkan wang – Polis

LABUAN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) Labuan mengingatkan orang awam agar berhati-hati dengan sindiket penipuan yang menggunakan nama ahli politik untuk mendapatkan wang.

Ketua Polis Daerah Labuan Supt Muhamad Farid Ahmad berkata baru-baru ini terdapat kes melibatkan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli yang namanya telah digunakan oleh sindiket penipuan untuk meminta wang daripada tiga ketua kampung.

“Modus operandi sindiket penipuan itu ialah menggunakan nombor telefon bimbit yang tidak dikenali dengan gambar profil ahli parlimen untuk menghantar mesej WhatsApp kepada orang yang disasarkan.

“Berdasarkan laporan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Labuan pada 15 April, kami mendapati sindiket itu telah menyamar sebagai ahli parlimen dan menghantar pesanan meminta mangsa memasukkan wang berjumlah RM3,500 ke Masterpro Enterprise Clinic Society,” katanya pada sidang media di Wisma Perbadanan Labuan di sini, hari ini.

Muhamad Farid berkata kertas siasatan mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan telah dibuka untuk siasatan lanjut kes itu.

Suara Sarawak