ARTIKEL

NORMAN MUHAMAD

Sinergi M’sia-China mengukuh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BEIJING: Hubungan Malaysia-China terus berkembang maju, dengan kedua-dua negara komited untuk memperkukuh kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, teknologi dan bidang lain yang berpotensi tinggi, kata Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad.

Beliau berkata China kekal sebagai rakan penting bagi Malaysia, dengan hubungan dua hala yang berasaskan sikap saling menghormati dan mempercayai terus membuahkan hasil positif dalam pelbagai sektor sejak hubungan diplomatik terjalin 52 tahun lalu.

“Hubungan antara Malaysia dengan China yang berlandaskan sikap saling menghormati dan mempercayai terus bertambah kukuh,” katanya dalam ucapan pada Majlis Resepsi Hari Kebangsaan Malaysia.

Norman berkata, China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah AS$132.50 bilion (RM541.90 bilion) pada 2025, merangkumi 17.7 peratus daripada keseluruhan perdagangan global Malaysia.

Beliau berkata perdagangan dua hala terus mencatat prestasi kukuh tahun ini, mencecah AS$35.49 bilion (RM140.76 bilion) dari Januari hingga Mac 2026, manakala pelaburan terkumpul yang telah dilaksanakan dari China antara 1980 hingga 2025 berjumlah AS$24.5 bilion (RM110.9 bilion).

“Pelaburan yang telah dilaksanakan ini mewujudkan 106,712 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia,” katanya sambil menambah bahawa Malaysia kekal komited untuk menarik pelaburan mampan yang akan menjana kesan limpahan positif kepada ekonomi negara.

Norman berkata Malaysia juga berhasrat memperluas kerjasama dengan China dalam sektor baharu muncul dan berpotensi tinggi, termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi hijau, selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Strategi Semikonduktor Nasional dan Strategi Pelaburan Hijau.

Beliau berkata, Malaysia, China dan 36 negara lain menandatangani perjanjian pada Julai untuk menjadi anggota pengasas Pertubuhan Kerjasama Kecerdasan Buatan Dunia (WAICO), dengan Malaysia antara tujuh negara anggota ASEAN yang terlibat dalam penubuhannya.

“Malaysia kekal komited dan menyokong sepenuhnya matlamat WAICO untuk menggalakkan kerjasama antarabangsa dan tadbir urus global berkaitan AI.

“Kita mesti memastikan AI bermanfaat, selamat, adil dan terbuka kepada semua,” katanya.

Norman turut berkata Malaysia mengalu-alukan inisiatif China termasuk Inisiatif Jalur dan Laluan, Inisiatif Pembangunan Global, Inisiatif Keselamatan Global dan Inisiatif Tamadun Global, sambil menekankan kepentingan persekitaran antarabangsa yang berlandaskan kesamaan dan undang-undang antarabangsa.

“Bagi Malaysia dan China, satu-satunya jalan ke hadapan adalah untuk melangkah maju bersama-sama.

“Malaysia bersedia untuk bekerjasama erat dengan rakan-rakan kami dari China bagi membina masa depan yang lebih baik untuk rakyat kedua-dua negara,” katanya.

Majlis resepsi yang diadakan bersempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-69 dan Hari Malaysia ke-63 itu dihadiri 440 tetamu termasuk wakil kerajaan China, anggota kor diplomatik, pegawai Kedutaan Malaysia, pengamal media, pelajar universiti, pemain industri dan rakyat Malaysia di Beijing. -Bernama

BERITA LAIN

Pelaburan RM218.5 bilion cipta 99,030 peluang pekerjaan

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,746 projek pelaburan yang diluluskan pada separuh pertama 2026 dijangka mewujudkan 99,030 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan

BERITA TERBARU

Golf Senior Pacu Pelancongan Sarawak

Kejohanan Golf Amatur Senior Antarabangsa Sarawak (SISAGC) 2026 bakal kembali tahun depan selepas edisi sulungnya berjaya menghimpunkan 156 pemain dari enam negara, sekali gus membuka