Singapura dan Sarawak bekerjasama pertingkat ekonomi

KUCHING: Singapura optimis untuk bekerjasama strategik dengan Sarawak dalam meningkatkan pelaburan, hubungan perdagangan dan pelancongan antara kedua-dua wilayah.

Menteri Kanan Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura Chee Hong Tat berkata salah satu bidang yang berpotensi adalah makanan, di mana Sarawak dan Singapura dapat saling melengkapi dari segi keperluan dan sumber.

“Sarawak mempunyai sumber produk makanan yang sangat baik. Sesetengah syarikat kami mungkin berminat datang dan melabur ke sini untuk pembuatan, pemprosesan dan mengeksport produk makanan di luar negara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemu-bual selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Loy Hui Chien dan Timbalan Pengarah Bahagian Asia Tenggara dan Oceania, Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura Foo Cher How.

Selain itu, kata Hong Tat adalah sektor pelancongan di mana beliau dan Abang Johari telah membincangkan kemungkinan melakukan pemasaran dan promosi bersama kepada pelancong dari Eropah, China, India, Amerika Syarikat dan Australia.

“Apabila mereka (pelancong luar negara) tiba di Asia Tenggara, mereka boleh terbang ke Singapura dan seterusnya datang ke Sarawak, meluangkan sedikit masa di sini sebelum mereka balik,” katanya.

Hong Tat menyampaikan cenderahati kepada Abang Johari semasa kunjungan hormat di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.
Hong Tat (tiga kiri) bersama delegasinya merakamkan gambar bersama Abang Johari (tengah) di Wisma Bapa Malaysia, hari ini.

Suara Sarawak