
KUCHING – Cabaran Berbasikal Bukit Siol (Siol Mountain Bike Challenge) 2022 akan berlangsung dari 26 hingga 28 Ogos ini di Trek MTB Siol, Bukit Siol, Petra Jaya.
Cabaran itu menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM38,150 kepada pemenang bagi lima kategori utama yang dipertandingkan dalam tiga hari perlumbaan terbabit.
Lima kategori yang dipertandingkan ialah
Cross Country Eliminator (XCE) – Terbuka Lelaki,
Cross Country Olympic (XCO) – Lelaki Elit, Wanita Elit, Remaja Lelaki dan Lelaki Master B, Cross Country Short Course (XCC) – Remaja Lelaki,
Cross Country Relay (XCR) dan Downhill Individual (DHI)- Lelaki Elite, Wanita Elite dan Lelaki Master.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, seramai 58 penyertaan untuk perlumbaan hujung minggu ini yang menyaksikan pembabitan pelumba dari Sarawak (35 orang), Sabah (7 orang), Selangor (8 orang), Johor (7 orang) serta Filipina (1 orang).
“Kita percaya saingan sengit akan berlaku sepanjang tiga hari perlumbaan itu berlangsung dengan pembabitan pelumba dari beberapa negeri dan negara lain yang turut serta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) hari ini.