Sistem bergilir sesi persekolahan Bahagian Sibu

SIBU: Penyelaras Jawatan Pengurusan Bencana Bahagian Sibu (JPBBS) Dr Annuar Rapaee mengumumkan bahawa semua sekolah menengah dan rendah di bahagian Sibu akan dilaksanakan secara pengiliran selama empat minggu apabila sesi persekolahan mula dibuka, Isnin ini.

Keputusan ini diambil, jelas beliau, setelah mengambil kira tentang situasi wabak Covid-19 di bahagian ini dan juga untuk mengelakkan kesesakan serta penyebaran wabak itu di sekolah.

Menjelas lanjut, Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan itu berkata, berdasarkan sistem pengiliran Tahun 4, 5 dan 6 akan menghadiri kelas secara bersemuka pada Isnin, Rabu dan Jumaat.

“Bagi peringkat pra-sekolah, Tahun 1, 2 dan 3, mereka akan turun ke sekolah secara bersemuka pada setiap Selasa dan Khamis,” jelas beliau.

Dr Annuar berkata demikian ketika mengemaskini laporan harian kes Covid-19 bagi Bahagian Sibu secara maya di laman sosialnya petang tadi.

Sementara itu, bagi sekolah menengah pula, ujarnya, Tingkatan 4, 5 dan 6 akan turun ke sekolah secara bersemuka seperti biasa.

Namun, kata Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi itu lagi, bagi kelas peralihan dan Tingkatan 3, para pelajar akan turun ke sekolah secara bersemuka pada minggu kedua dan keempat.

Rentetan itu, katanya, penilaian sistem bergilir itu akan diteliti semula selepas empat minggu ini bergantung kepada jumlah kes positif Covid-19 yang dicatatkan di Sibu berdasarkan laporan hariannya.

“Tujuannya sistem bergilir itu dilaksanakan adalah untuk mengurangkan jumlah pelajar datang ke sekolah bagi mengelakkan kesesakan.

“Walaupun begitu, pelajar atau murid yang tidak datang ke sekolah pada hari yang ditetapkan, mereka akan menjalani Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR),” jelasnya.

Adun Nangka itu memberitahu, dengan kaedah ini, sekurang-kurangnya para pelajar akan dapat bersemuka dengan guru dua atau tiga hari dalam seminggu.

Sehubungan itu, jelasnya, guru kelas juga akan membuat kumpulan Whatsapp bagi bertanya mengenai keadaan pelajar sama ada mereka mempunyai kontak rapat atau ada ahli keluarga yang positif Covid-19 pada hari tersebut.

“Guru kelas akan hantar mesej untuk pastikan sesiapa yang ada demam, dinasihati agar tidak turun ke sekolah pada hari berikutnya,” kata beliau.

Menyentuh mengenai pelajar SPM yang tidak menduduki peperiksaan sebelum ini akibat Covid-19, Dr Annuar berkata mereka akan menduduki peperiksaan penjadualan semula bermula 6 hingga 23 April ini.

“Seramai 223 pelajar di bandar Sibu terlibat. Ini peluang terakhir untuk pelajar SPM.

“Jika mereka tidak menduduki peperiksaan ini, mereka tidak akan dapat keputusan dan terpaksa menduduki peperiksaan tahun hadapan.

“Sekiranya calon-calon yang terpaksa menduduki SPM ini positif, kita akan menyediakan tempat di hospital. Jika mereka hanya dikuarantin, kita juga akan menyediakan tempat di pusat kuarantin untuk mereka menduduki ujian,” jelas beliau.

DR Annuar ketika mengumumkan sesi persekolahan di bahagian Sibu yang akan bermula Isnin ini akan dilaksanakan secara pengiliran.

Suara Sarawak