Sistem komunikasi perlu ditambah baik dengan segera dari segi liputan dan kelajuan internet khasnya kawasan luar bandar

KUCHING: Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya sistem komunikasi perlu ditambah baik dengan segera dari segi liputan dan kelajuan internet khasnya kawasan luar bandar.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan, Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, cadangan tersebut bagi memudahkan sesi pembelajaran kanak-kanak secara dalam talian dapat berjalan lancar.

“Tambahan pula, kita tidak mahu jurang yang terlalu jauh antara pelajar di sekolah luar bandar dan bandar dalam kesaksamaan mendapatkan pendidikan apabila sesi persekolahan beralih kepada sesi pembelajaran secara dalam talian.

“Selain itu, cadangan lain pula adalah memastikan kanak-kanak mendapat kebaikan makanan, perlindungan daripada penderaan dan pengabaian, perkhidmatan kesihatan fizikal dan mental, keselamatan penggunaan internet dan sokongan pekerjaan ibu bapa dalam memerangi kemiskinan kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media secara dalam talian selepas Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau menjelaskan bahawa perniagaan secara dalam talian juga boleh di akses walaupun dari kawasan luar bandar sekali gus membantu usahawan wanita dalam meningkatkan pendapatan mereka.

“Selain itu juga, mereka mencadangkan agar kerajaan membentuk satu pendaftaran untuk orang yang kehilangan pekerjaan dan mencari peluang kerja baru.

“Setakat sekarang, Jabatan Sumber Manusia hanya mengadakan jelajah ‘Grap’ bersama syarikat-syarikat besar tetapi kurang berkesan,” katanya lagi.