KUCHING: Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) muncul sebagai pemenang tempat pertama dalam Pertandingan Anugerah Inovasi Ekonomi Digital, 10+3 (ASEAN + China, Jepun dan Republik Selatan Korea) melalui Sistem Operasi Bandar Pintar Sarawak.
Pengurus Besar SMA, Dr Zaidi Razak memberitahu anugerah yang diberikan menyediakan jaminan besar terhadap pelbagai usaha yang dijalankan oleh Sarawak memperkasakan pendigitalan dan ekonomi digital.
“Pencapaian itu akan membolehkan SMA untuk menggalakkan semua pihak berkepentingan bergerak ke hadapan untuk mencapai aspirasi Sarawak, menjadi negeri berpendapatan tinggi dan maju selari dengan agenda ekonomi digital.”
Pada masa sama, inisiatif sejajar Strategi Pembangunan 2030 pasca-Covid-19 (PCDS 2030) dan objektif Rancangan Malaysia Ke-12 negeri dengan memperincikan bagaimana untuk menjadikan bandar di Sarawak lebih selesa didiami dengan menjadikan Kuching sebagai model contoh,” katanya.
Tambahnya, langkah tersebut jelas menunjukkan bahawa langkah yang diambil oleh SMA sebelum ini berada di landasan betul dan mampu menjadikan masa depan lebih cerah, sekali gus menyingkirkan segala keraguan yang wujud dalam kalangan pihak tertentu.
Mengulas lanjut, Sarawak adalah antara yang pertama di Malaysia, maju dengan inisiatif berkisar pendigitalan dan ekonomi digital, justeru kita inginkan Sarawak untuk berada di platform global yang lebih luas.
Selain itu, Ketua Unit Ekonomi Digital, Tan Chee Kang juga turut menyatakan entri tersebut merupakan inisiatif oleh SMA yang dahulu, kini dan akan datang terutama sekali berkaitan dengan Pelan Induk Bandar Pintar Kuching bagi tahu 2021 hingga 2025.
Katanya, penyertaan dalam pertandingan tersebut merupakan satu platform yang sesuai untuk mempromosikan Sarawak kepada dunia luar khususnya kepada negara yang memperjuangkan pendigitalan.
“Kita ingin menunjukkan bahawa Sarawak sememangnya bersedia untuk pendigitalan, justeru platform seperti ini membolehkan kita mempromosikan negeri untuk menarik pelaburan dan rakan kongsi untuk inovasi digital yang lebih hebat.
“Selain itu, ia juga salah satu strategi untuk menggalakkan sinergi, kerjasama dan pemilikan perkhidmatan ke arah peningkatan masyarakat dan ekonomi bagi Sarawak untuk masa akan datang,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan harapan agar penyertaan seperti ini dapat membantu untuk meningkatkan penjenamaan Sarawak khususnya dalam peringkat global.