KUCHING: Sistem pendidikan negara hari ini yang berhadapan dengan cabaran yang besar memerlukan satu anjakan paradigma bagi memastikan kelangsungannya terus relevan.
Justeru, Pengerusi Pemikir Dayak Sarawak (DTTAS) Wellie Henry Majang menyeru usaha kolaboratif daripada semua pihak demi memastikan sistem pendidikan negara seiring dengan perkembangan teknologi.
“Bagi menterjemahkan pembangunan inklusif, DTTAS ingin memberikan pendidikan terbaik, pada yang kaya mahupun yang miskin, tanpa mengira di daerah dan kota mana sekalipun.

“Usaha DTTAS ini adalah menerusi Pameran Pendidikan 2023 yang akan berlangsung pada 18 Mac ini di Dewan Panglima Rentap, Betong dan pelajar diseru untuk menghadirkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menambah, pameran ini bertujuan memberi ruang dan peluang kepada pelajar dan belia di kawasan luar bandar mendapatkan maklumat pendidikan, latihan dan bantuan pendidikan.
“Oleh itu, melalui pendedahan pada program ini para lepasan SPM dan STPM yang tidak berjaya dalam akademik akan berpeluang memilih kursus atau bidang pendidikan yang sesuai dengan kelulusan dan minat mereka.
“Program ini direka khas bagi menyampaikan maklumat mengenai peluang-peluang pendidikan, latihan dan bantuan pendidikan kepada para belia dan pelajar di seluruh Sarawak terutama lepasan SPM dan STPM,” ujarnya.
Justeru beliau berharap pelajar lepasan SPM dan STPM dapat menghadiri program ini kerana Kerajaan Sarawak telah menyediakan pelbagai pelan pembangunan dalam pelbagai aspek yang merangkumi peranan belia dalam industri pelancongan, pemasaran dan pemantapan kebudayaan, dalam pelestarian kesenian pelbagai etnik dan dalam pembangunan ekonomi di negeri ini.
Katanya, hanya pendidikan dapat merubah kehidupan seseorang itu lebih bermakna dan dapat merealisasikan impian suatu hari nanti.
“Jika mereka berjaya untuk melanjutkan pelajaran lebih tinggi dari keluarga yang miskin dan bersekolah di luar bandar boleh berjaya dan mengubah keadaan ekonomi keluarga masing-masing,” jelasnya.