Sistem pendidikan perlu sentiasa dinamik dan progresif

TATAU: Sistem pendidikan di negara ini perlu sentiasa dinamik dan progresif selain bersedia mengharungi perubahan dan pembaharuan seiring dengan peredaran zaman.

Ke arah merealisasikan hasrat mencapai standard pendidikan berkualiti, semua pihak harus menggalas tugas dan cabaran besar, demikian tegas Menteri Kerja Raya, Baru Bian.

Kementerian Pendidikan Malaysia, katanya, telah memperkenalkan pelbagai program sebagai platform meningkatkan penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak di samping menggalakkan penglibatan komuniti setempat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Cemerlang 2019, Sekolah Kebangsaan Kelawit Kali Ke-15, semalam yang diwakili oleh Pegawai Khasnya, Simon Joseph Usau.

Jelas Ahli Parlimen Selangau itu lagi, usaha menjadikan golongan pelajar sebagai peneroka ilmu amat penting dalam mempersiapkan generasi muda dengan keperluan abad ke-21.

TAHNIAH… Simon menyampaikan hadiah kepada salah seorang pelajar pada majlis Anugerah Cemerlang 2019, Sekolah Kebangsaan Kelawit Kali Ke-15,

“Selama ini, kita beranggapan penglibatan ibu bapa dalam pembelajaran anak-anak mereka di sekolah berlaku secara semula jadi”.

“Namun dengan perubahan zaman dan cabaran semasa, usaha secara bersepadu dan bersungguh-sungguh melalui satu kaedah perlu dilakukan oleh semua lapisan masyarakat supaya dapat menyumbang kepada kejayaan pelajar,” katanya.

Dalam pada itu, Baru Bian menyaran agar pembangunan dan perkembangan yang tinggi dalam aspek keperibadian juga diberikan perhatian serius.

Dalam konteks tersebut, katanya, pihak berkaitan(sekolah dan ibubapa) perlu memupuk serta menyemai hubungan akrab yang berasaskan rasa tanggungjawab bersama, saling memerlukan dan sentiasa menyokong antara satu sama lain.

Pada majlis tersebut, beliau meluluskan geran sebanyak RM5, 000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan bagi kegunaan aktiviti persatuan.