ARTIKEL

Lo ketika ditemui pemberita. FOTO GHAZALI BUJANG

Sistem saliran lebih baik tangani isu banjir di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Reka bentuk komprehensif diperlukan untuk memastikan air dapat mengalir lebih pantas ke sungai bagi menangani isu banjir yang berlaku di Sarawak.

ADUN Batu Kitang Datuk Lo Khere Chiang berkata, sistem saliran yang lebih besar dan lurus terus ke sungai mampu mengatasi isu berkenaan.

“Bagi mengurangkan kejadian banjir berlaku di Kuching dan di seluruh Sarawak, sistem saliran yang besar penting agar air dapat mengalir terus ke sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita ketika mengadakan lawatan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) di Kampung Tematu, di sini, hari ini.

Untuk itu, Lo menegaskan agar orang ramai lebih bertanggungjawab terhadap sisa masing-masing dan tidak membuangnya ke dalam sungai sehingga menyebabkan saliran air tersumbat.

“Saya ingin mengingatkan kepada orang kampung dan orang ramai secara amnya supaya tidak membuang sampah di dalam saliran air sehingga boleh menyebabkan longkang atau parit tersumbat.

“Begitu juga pihak kontraktor dinasihatkan untuk tidak membuang sisa pembinaan secara haram di merata-rata tempat sehingga menjejaskan alam sekitar.

“Kita dapati banyak sisa pembinaan dibuang secara haram di merata-rata tempat. Sisa-sisa ini akan mengalir ke sungai lalu menyebabkan banjir dan masalah-masalah seumpamanya berlaku,” tegasnya.

Sehubungan itu, beliau turut memuji tindakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) kerana sentiasa membantu untuk mengorek longkang di kawasan kampung sekitar DUN Batu Kitang bagi mengelakkan kejadian banjir.

“Di sini memang banjir kerana jalan raya dan sungainya dinaiki air. Justeru, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada JPS kerana membantu mengurangkan kejadian banjir di sini,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU