Siswazah IT Unimas laris

KUCHING: Kebolehpasaran siswazah Unimas daripada Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) adalah sekitar 85 peratus, kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman.

Menurutnya, indikasi yang memberangsangkan itu adalah hasil kerjasama Unimas dan pihak berkepentingan seperti industri, agensi kerajaan, komuniti, alumni, sekolah dan sebagainya.

“Kita membangunkan kerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan kualiti kurikulum bidang terbabit relevan dengan keperluan industri setiap masa.

“Malah, selari dengan dasar Kementerian Pendidikan yang menginginkan ‘universiti untuk komuniti’. Unimas akan terus menjadi jambatan kepada revolusi ekonomi digital di Sarawak,” kata-nya ketika menyampaikan ucapan aluan pada Persidangan Antarabangsa Teknologi Maklumat Ke-11 (Cita) yang disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Patingggi Abang Johari Tun Openg di sini, semalam.

Tambah Fadzil, ICT merupakan kunci utama kepada pembangunan ekonomi digital yang merupakan agenda Kerajaan Sarawak untuk mencapai negeri termaju dalam Malaysia menjelang tahun 2030.

“Di Unimas, ICT adalah satu daripada tiga bidang yang diperlukan untuk penyelidikan.

“Maka kita menawarkan program secara holistik di peringkat sarjana muda dan sarjana,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai Cita, Fadzil berkata, tema kali ini ialah ‘trend dan masa depan menginsankan teknologi digital’ yang merungkai potensi revolusi industri 4.0 dalam kehidupan seharian.

“Tahun ini kita menerima 58 kertas kerja dan 27 peratus daripadanya diterima untuk diterbitkan.

Antaranya dari Algeria, Australia, Indonesia, Nigeria, Arab Saudi, Pakitsan, Malaysia, Emiriah Arab Bersatu, Yaman dan United Kingdom.

Suara Sarawak