DARO : Sekolah Kebangsaan (SK) Bruit melakar sejarah apabila merangkul johan Emas Pertama Keseluruhan Inovasi Kebangsaan 2019, melalui kejayaan mereka menghasilkan Buku Sains IT (ITSB).
Tambah manis apabila sekolah pendalaman yang terletak di utara Pulau Bruit ini tampil mengejutkan apabila mampu mengenepikan cabaran sebanyak 130 penyertaan pasukan lain dari seluruh Malaysia.
Penolong Kanan Hal Ehwal Murid (PKHEM) SK Bruit, Matusup Yaakub berkata, kejayaan besar itu adalah hasil komitmen padu tenaga pengajar sekolah khususnya guru sains yang tampil dengan idea unik dan menarik.
Menurutnya, berbeza dengan buku biasa, ITSB tampil dengan aplikasi tersendiri dan memiliki pelbagai keistimewaan.
“Penghasilan ITSB tercetus daripada keinginan kita untuk memastikan setiap murid di pedalaman agar tidak ketinggalan menggunakan kemudahan ICT.
“Justeru, penggunaan ITSB melalui imbasan aplikasinya dengan telepon bimbit dan boleh digunakan pada bila -bila masa termasuk di luar talian Buku nipis yang tidak sampai 20 muka surat ini, boleh dimanfaatkan pelajar untuk belajar sendiri,” katanya kepada wartawan Suara Sarawak.

Mengulas lanjut, Matusup memberitahu, ITSB dihasilkan dalam tempoh tiga bulan dengan melibatkan penyertaan seramai empat orang guru dan lima orang murid.
Katanya, ilham mencipta buku berkenaan datangnya daripada guru sains sekolah yang tampil dengan kreativiti tersendiri dalam menjadikan proses menimba ilmu sebagai sesuatu menyeronokkan bagi setiap murid.
“Bagaimana pun, penghasilan buku ini juga terlepas daripada pelbagai cabaran termasuklah, tahap capaian internet yang kurang memuaskan, kengkangan masa dan kekurangan bahan.
Namun, berkat kegigihan dan semangat tidak putus asa, kita akhirnya berjaya merealisasikannya,” katanya.
Beliau juga berkata, kemenangan itu memberi pengalaman yang cukup berharga kepada seluruh warga sekolah SK Bruit.

“Kejayaan membawa pelajar pedalaman ini dengan mendedahkan mereka pada dunia luar adalah pengalaman yang cukup luar biasa. Kami meredah perjalanan menggunakan bot dan menaiki kereta. Ternyata kepayahan itu bukan penghalang kejayaan hari ini.
“Terima kasih khas buat semua anggota pasukan, Guru Besar Sk Bruit, Mohardin Mohatar ,PPD Daro serta JPN Sarawak yang sentiasa memberikan dorongan serta sokongan kepada kami.
“Tidak lupa juga, tulang belakang kejayaan ini adalah sokongan dana Ahli Parlimen Tanjung Manis, Yusuf Abd Wahab dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.42 Semop, Abdullah Saidol termasuk TEGAS,PETRONAS dan banyak lagi,” tambahnya.
