
KUCHING: Pasukan Sekolah Kebangsaan (SK) Goebilt dinobatkan juara selepas menamatkan saingan kejohanan Liga Kecil Malaysia (Malaysia Little League) 2022 peringkat Daerah Kuching.
Kejohanan Liga Tunas Malaysia anjuran Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) itu menyaksikan pasukan itu beraksi baik sepanjang liga berlangsung di Padang SK Bandar Baru Samariang bermula 24 hingga 25 Ogos lalu.
Pengurus Pasukan Mohamad Dino Khairil Bujang berkata, kesungguhan dan komitmen anak buahnya berjaya membuahkan hasil dalam menghadapi perlawanan final kejohanan terbabit.
“Ketinggalan 1-0 pada babak pertama tidak mematahkan semangat mereka untuk berjuang sehingga ke wisel penamat.
“Kita mulai bangkit apabila mendapat jaringan penyamaan, dan meneruskan rentak permainan yang cukup baik sehingga mendapat jaringan kedua untuk memenangi perlawanan,” katanya kepada Arena Suara Sarawak.
Aksi final kejohanan menyaksikan SK Goebilt menang tipis (2-1) menentang SK Bako.
Jurulatih Pasukan SK Goebilt, Hardi Rasidi turut menzahirkan penghargaan di atas kejayaan yang dikecapi anak buahnya sepanjang perlawanan.
“Disiplin, tanggungjawab mereka dalam menggalas tugas selaku wakil sekolah amat baik, diharapkan mereka mampu meneruskan usaha sedemikian untuk meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Sebanyak lapan pasukan berentap dalam kejohanan tersebut iaitu SK Goebilt, SK Bako, SK Gita, SK Bandar Samariang, SK Tabuan Hilir, SK Tabuan, SK Gersik, dan SK Semerah Padi.