
MUKAH: Bertanding buat kali pertama, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Kut, Daro melakar sejarah, apabila muncul juara dan naib juara Kejohanan Badminton Majlis Sukan Sekolah (MSS) Bahagian Mukah.
Jurulatih pasukan Muhamad Tarmizi Awang@Yaacob, 35, berkata, kejohanan berlangsung selama dua hari di Pusat Sukan Komuniti Mukah itu merupakan kejohanan sulung yang disertai sekolahnya.
“Kami satu-satunya wakil pasukan untuk Daerah Daro dan pertama kali menghantar pasukan untuk menyertai pertandingan.
“Daerah Daro juga tidak pernah menghantar mana-mana wakil untuk kejohanan sebelum itu,” katanya sambil memberitahu turut mengiringi pasukan ialah pengurus, Mohamad Narin Othman.
Menurut Muhamad Tarmizi, SK Kampung Kut merupakan salah sebuah sekolah yang pernah diklasifikasikan sebagai sekolah kurang murid (SKM) kerana hanya mempunyai 38 orang pelajar.
“Bagaimanapun, ternyata sekolah kecil seperti kami dapat memberi saingan terhadap sekolah-sekolah besar lain yang terdapat di Bahagian Mukah.
“Kami hanya menghantar dua orang wakil iaitu Muhammad Fathull Awal Saidin dan Mohammad Irfan Nazran Sabu, segala usaha kita akhirnya berbaloi.
Kedua-duanya berentap di pentas akhir dan hanya untuk menentukan johan dan naib johan namun tetap mewakili sekolah,” ujarnya lagi.
Tempat ketiga dan keempat masing-masing dimenangi bersama oleh Sekolah Kebangsaan Agama Majlis Islam Sarawak (MIS) Mukah dan SK St. Parish, Balingian.
Kejohanan yang berlangsung pada 15 dan 16 Jun itu melibatkan 36 penyertaan dari 16 buah sekolah di seluruh Bahagian Mukah.