Trending

SK Kampung Tellian Sambut GuGaRa

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

MUKAH: Sekolah Kebangsaan Kampung Tellian buat julung kalinya memilih kelainan meraikan tiga hari istimewa pada tahun ini, dengan mengadakan Sambutan Hari Guru dan Gawai Raya (GuGaRa) peringkat sekolah yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Tellian Mukah semalam.

Menurut Pengerusi Pengelola Majlis GuGaRa, Latifah Zaini berkata sambutan Hari Guru yang diadakan setiap tahun sesungguhnya ialah satu pengiktirafan dan penghargaan kepada guru.

“Majlis yang kita adakan ini merupakan satu pengiktirafan kepada guru yang telah diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa.

“Jadi, amat wajar sekali Sambutan Hari Guru ini diraikan bersama oleh semua pelajar, ibu bapa dan masyarakat kerana ini ialah cara yang terbaik untuk menyatakan rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap jasa guru yang tidak ternilai bandingnya,” katanya berucap pada majlis tersebut.

Beliau yang merangkap Naib Yang Di Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Tellian Mukah turut berharapan agar semua pendidik terus komited dalam menjalankan tugas dengan penuh kreatif dan dedikasi.

“Pada kesempatan ini saya berharap agar guru-guru di sekolah ini akan terus komited dan sentiasa berusaha menjadi guru yang lebih kreatif, dan sentiasa cekal dalam mendidik anak bangsa.

“Di harap kita mampu mencipta kelainan yang boleh memberi manfaat kepada semua para pelajar dan sekolah dalam menghayati profesion sebagai guru kerana ia satu tanggungjawab yang mulia, dan perlu sentiasa peka dan sedar bahawa segala ilmu yang dicurahkan boleh merubah insan biasa menjadi luar biasa,” ujar Latifah.

Guru Besar SK Kampung Tellian Syazana Abdullah @ Rupina Tambi turut merakamkan penghargaan kepada semua guru sekolah berkenaan dan berasa terharu dan bertuah terhadap exco PIBG kerana berjaya menganjurkan majlis Sambutan GuGaRa.

“Tugas sebagai pendidik ibarat berada di sebuah ladang, guru menanam benih-benih keinsanan, menyiram air kasih sayang, membajainya dengan luhur budi agar terus subur dan membesar dengan sempurna.

“Pohon yang membesar dengan sempurna itu pula akan menghasilkan buah bakti yang akan terus memberi manfaat kepada orang lain. Alangkah besar pengorbanan dan tugas seorang guru. Jika dilaksanakan dengan penuh keikhlasan, sudah pasti ganjaran besar akan menanti di alam yang kekal abadi,” tambahnya.

Seterusnya, Syazana dan Latifah, sambil diringi oleh barisan guru melakukan simbolik perasmian Sambutan GuGara dengan memotong “Ranyai Gawai” yang telah disediakan sebagai sebahagain sambutan Hari Gawai tahun ini.

Dalam majlis tersebut, turut dipersembahkan Tarian Joget daripada Kelab Kebudayaan Sekolah yang telah memenangi tempat kedua dalam Pertandingan Tarian Sekolah Rendah Peringkat Daerah Mukah baru-baru ini.

Sambutan GuGara diteruskan dengan bacaan Ikrar Hari Guru yang diketuai oleh Cikgu Hamdiah Mahli yang kemudiannya menyanyikan Lagu Kami Guru Malaysia dan Pendidik Bumi Kenyalang.

Setelah itu, Syazana dan Latifah bersama-sama dengan semua guru memotong Nasi Pulut Kuning sebagai simbolik Sambutan Hari Guru.

Majlis diteruskan dengan penyampaian Hadiah Hari Guru daripada PIBG yang disampaikan oleh Latifah. Manakala, Pengerusi Jawatankuasa Permuafakatan Ibubapa Prasekolah (JPIP), Abdul Khalid Mahdi juga turut menyampaikan kepada semua guru.

Suasana Hari Raya diserikan dalam sambutan tersebut dengan simbolik penyerahan Wang Raya kepada setiap murid oleh Latifah. Selain itu, guru-guru dan ibu bapa yang hadir turut dipersembahkan dengan persembahan Wushu oleh Kelab Wushu Sk Kampung Tellian.

Untuk rekod, Kelab Wushu SK Kampung Tellian Mukah telah merangkul Juara Keseluruhan dalam Pertandingan Wushu Peringkat Daerah Mukah pada bulan April yang lepas dan baru-baru ini, telah menyumbangkan 24 pingat emas bagi membantu Kontijen Bahagian Mukah menjuarai Kategori Wushu Sekolah Rendah pada Karnival Kesenian Cina Peringkat Negeri Sarawak.

Dalam pada itu, hadirian yang hadir turut dihidangkan dengan pelbagai hidangan yang dibawa oleh para guru dan ibubapa ke majlis berkenaan. Acara yang paling ditunggu oleh hadirin pada majlis tersebut ialah Persembahan Peragaan Fesyen Gawai Raya Prasekolah yang berkonsepkan kitar semula. Seramai 15 peserta terdiri daripada murid prasekolah telah menyertai persembahan tersebut.

Turut hadir Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sk Kampung Tellian, James Anthony, Penolong Kanan Pentadbiran Dayang Haisah Awang Lai , Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Boniface Michael Chabo, Penolong Kanan Kokurikulum Masiah Hj Mohd Ali, guru-guru, ibu bapa dan masyarakat setempat.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

8 December 2023

Berita Terbaru