Sk Sungai Buloh dan Rh. Eding, Selangau terjejas banjir

SIBU: Sebuah sekolah dan sebuah rumah panjang di Daerah Selangau, di sini terjejas banjir hari ini ekoran hujan lebat.

Menurut jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Mejar (PA) Ismail Mahedin, sekolah yang terjejas ialah Sekolah Kebangsaan Sungai Buloh, apabila dinaiki air sedalam 2.5 hingga 6 kaki.

“Semua kakitangan dan murid asrama telah diarahkan balik pada petang semalam dan sekolah telah ditutup hari ini berikutan air pasang secara mendadak.

“Namun keadaan masih dalam keadaan terkawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya sekolah terbabit mempunyai seramai 143 orang murid, 11 guru dan lapan kakitangan.

Manakala, Ismail berkata rumah panjang terjejas ialah Rh. Eding, Sungai Dijih yang dinaiki air sedalam 1.8 kaki.

“Tinjauan ke lokasi, didapati hanya terjejas di kawasan rumah panjang rendah sahaja namun belum menjejaskan struktur rumah.

“Kesemua rumah panjang serta penduduk tebingan Sungai Dijih tidak terjejas setakat ini dan dalam keadaan terkawal,” katanya.

Rh. Eding, Sungai Dijih yang dinaiki air sedalam 1.8 kaki.

Suara Sarawak