SIBU: Pendidikan tinggi percuma yang diperkenalkan Kerajaan Sarawak bukan sekadar inisiatif kebajikan, sebaliknya merupakan pelaburan untuk melahirkan generasi yang mampu menerajui ekonomi baharu berteraskan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan tenaga hijau.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perubahan landskap ekonomi global menuntut Sarawak menyediakan modal insan berkemahiran tinggi agar mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
“Dalam insentif pendidikan tinggi percuma, kita memberi penekanan kepada 64 program pengajian termasuk bidang siber, analisis siber, kimia dan aeroangkasa.
“Kita sedang menyediakan generasi muda untuk menghadapi ekonomi baharu. Pasarannya pula bukan hanya di Sarawak, tetapi di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol selaku moderator pada sesi Townhall Hari Sarawak bersama Premier Sarawak sempena Sambutan Hari Sarawak di Dewan Canselor Tun Abdul Taib Mahmud, Universiti Teknologi Sarawak (UTS), hari ini.
Abang Johari berkata, transformasi ekonomi global menuntut Sarawak memanfaatkan kelebihan sumber semula jadinya bagi meneroka peluang ekonomi baharu.
“Peralihan ini juga membuka peluang baharu kepada Sarawak yang memiliki kekuatan sumber tenaga hidro, solar, biojisim serta gas asli rendah karbon.
“Sarawak juga mempunyai kelebihan sebagai kawasan hutan hujan tropika yang berfungsi sebagai penyerap karbon, sekali gus berpotensi menjana pendapatan menerusi perdagangan karbon selain mengekalkan usaha pemuliharaan alam sekitar,” ujarnya.
Beliau berkata, bagi memastikan Sarawak tidak ketinggalan, generasi muda perlu berani meneroka teknologi baharu termasuk AI dan Large Language Model yang menjadi pemacu ekonomi global masa depan.
“Kalau Jack Ma boleh menjadi usahawan bertaraf dunia, kalau Jensen Huang boleh membina syarikat teknologi bertaraf dunia, saya fikir anak Sarawak juga boleh jika mempunyai semangat untuk berjaya.
“Sebab itu saya memberikan pendidikan tinggi percuma kepada anak-anak Sarawak. Gunakan peluang ini untuk menerokai teknologi baharu. Mungkin suatu hari nanti kamu menjadi pencipta teknologi atau usahawan bertaraf dunia,” katanya.
Menurut beliau, persepsi bahawa seseorang hanya belajar untuk mendapatkan pekerjaan dalam sektor kerajaan juga perlu diubah kerana ekonomi masa depan memerlukan lebih ramai usahawan dan pencipta teknologi.
-tamat-





