ARTIKEL

Skuad hoki remaja uji prestasi di Perth

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Skuad hoki remaja lelaki kebangsaan bakal berkelana ke Australia bermula 6 hingga 14 April ini bagi menghadapi aksi pemanas badan sebelum menggalas cabaran negara pada  Sukan SEA di Kemboja dan Kejohanan Piala Remaja Asia 2023 di Salalah, Oman. 

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi kenyataan memaklumkan skuad Young Tigers akan berlepas ke Perth esok untuk mengharungi enam perlawanan menentang kelab senior di negara berkenaan sebelum pulang ke tanah air pada 15 April. 

“Ketika berada di Australia, skuad remaja negara yang terdiri daripada 21 pemain membabitkan dua penjaga gol, tujuh pertahanan, enam pemain di posisi tengah dan enam penyerang akan melalui enam perlawanan persahabatan,” menurut kenyataan itu. 

Ketua jurulatih skuad remaja lelaki kebangsaan Muhamad Amin Rahim pula berkata menerusi perlawanan berkenaan, skuad kebangsaan boleh dinilai memandangkan Australia antara pasukan terbaik dunia selain mempunyai kualiti tempo permainan berbeza.

“Kepantasan untuk berfikir serta kepantasan fizikal juga akan menjadi taruhan pasukan dalam aksi persahabatan tersebut, ia cukup baik bagi mempersiap pemain agar bersedia sepenuhnya menjelang dua kejohanan penting (Sukan SEA dan Piala Remaja Asia 2023),” katanya.

Beliau berkata barisan yang dibawa ke Perth merupakan pemain yang menunjukkan persembahan terbaik sewaktu saingan TNB Liga Hoki Malaysia baru-baru ini selain muka baharu untuk beraksi di peringkat tertinggi.

Skuad Young Tigers bakal berentap di Sukan SEA, Kemboja bermula 1 hingga 8 Mei ini dan turut membawa cabaran negara pada Piala Remaja Asia di Oman dari 23 Mei hingga 1 Jun depan. — BERNAMA

BERITA LAIN

Sentinels STK muncul juara futsal

KUCHING: Pasukan Sentinels STK dari Kuching melakar kejutan muncul juara Kejohanan Futsal Runati sempena Hari Sarawak 2024 yang berlangsung di Stadium Tertutup Bukit Lima, Sibu

BERITA TERBARU