ARTIKEL

SERAH...Haji Jumaat Ibrahim (kanan) menyerahkan sebahagian daging korban kepada Dr Noor Baizura Jamali (kiri) mewakili PERKIP Cawangan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching.

Skuad Muay Thai Sarawak perhebat latihan, persiapan hadapi SUKMA XXI

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Skuad Muay Thai Sarawak terus memperhebatkan latihan untuk atletnya mencakupi di dalam mahupun luar negara sebagai langkah pendedahan bagi menghadapi temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024 yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) Haji Jumaat Ibrahim menegaskan, ketika ini pihaknya telah menghantar atlet untuk berguru di luar negara dan ia akan diteruskan di beberapa lokasi lagi selepas ini.

Menurut Jumaat, antara lokasi yang telah dikenal pasti ialah di Pontianak, Kalimantan Barat, Indonesia dan Thailand termasuk beberapa lokasi dalam negeri.

Katanya, pendedahan itu sangat penting bagi meningkatkan prestasi serta meningkatkan keyakinan diri para atlet Sarawak apabila bersaing kelak.

“Sekarang ini kita telah menghantar atlet ke luar negara dan dalam negeri bagi mempersiapkan mereka untuk menghadapi SUKMA XXI.

“Kita mengadakan kerjasama dengan pihak Pontianak, Kalimantan Barat untuk melatih atlet terbabit agar mereka lebih terbuka dan bersedia,” ujar Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program Ibadah Korban anjuran PMNS dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Islam Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (PERKIP) Cawangan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching di Santubong semalam.

Jumaat akui, apabila atlet terbabit masuk gelanggang di luar negara, maka tahap keyakinan mereka juga bertambah dan ia akan memantapkan semangat juang mereka.

Dalam pada itu katanya, senarai 20 atlet yang akan menggalas cabaran Sarawak sudah dimuktamadkan dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Menurut Jumaat, PMNS juga mahu mengulangi pencapaian terbaik pernah dilakukan pada SUKMA 2022 yang berjaya meraih dua pingat emas kepada kontinjen Sarawak.

Bagaimanapun katanya, satu bonus kepada PMNS dan kontinjen Sarawak sekiranya atlet berjaya memenangi lebih dari dua pingat emas kelak.

Mengenai program korban tersebut, katanya ia merupakan aktiviti tahunan pihak PMNS dalam mengimarahkan suasana sambutan Hari Raya Aidiladha.

Beliau juga berharap kerjasama pihaknya dan PERKIP Cawangan Pejabat Kesihatan Bahagian Kuching kekal erat dan program seumpama itu dapat diteruskan pada-masa akan datang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU