Trending

Skuad Pelayaran sasar sebutir emas di Hangzhou

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUALA LUMPUR: Persatuan Pelayaran Malaysia (PPM) meletakkan sasaran sebutir emas, satu perak dan satu gangsa pada Sukan Asia Hangzhou 2022.

PPM menerusi satu kenyataan memaklumkan sasaran itu mampu dicapai menerusi tujuh atletnya yang akan beraksi dalam enam daripada 14 acara yang dipertandingkan kali ini di Pusat Pelayaran Ningbo Xiangshan, bermula dari 21 hingga 27 Sept ini.

“Selain itu, misi kali ini juga adalah untuk mendapatkan slot kelayakan ke Sukan Olimpik Paris 2024 bagi acara ILCA7 dan ILCA6,” katanya.

PPM berkata kem pelayaran terdiri tujuh atlet dan tiga pegawai berlepas ke China semalam, lebih awal dari tarikh pertandingan bagi menyesuaikan diri dengan keadaan laut dan cuaca berbeza di sana, berbanding Pusat Latihan Perahu Layar Kebangsaan, Langkawi.

Skuad pelayaran dibarisi Olimpian Khairulnizam Mohd Afendy bagi acara lelaki ILCA 7; Nur Shazrin Mohamad Latif (ILCA 6 wanita); Muhammad Asnawi Iqbal Adam (ILCA 4 lelaki); Muhammad Fauzi Kaman Shah-Juni Karimah Noor Jamali (470 campuran); Muhammad Izzudin Abdul Rani (RS:X lelaki); dan Tengku Nuraini Ezaty Tengku Khairudeen (RS:X wanita).

Pada edisi Jakarta-Palembang 2018, skuad pelayaran negara meraih emas kelas ILCA 4 menerusi Muhammad Fauzi, selain satu perak dan tiga gangsa.

Pasukan pelayaran juga berjaya mendapat slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi penyertaan Khairulnizam (ILCA 7) dan Nur Shazrin (ILCA 6) dalam Sukan Asia lepas. – BERNAMA

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

1 Disember 2023

Berita Terbaru