PASUKAN Renang Para Sarawak menjalani latihan bermula semalam sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Para Sukma XX Johor. Demikian dinyatakan jurulatih, Julius Jaranding menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada Jumaat.
Menurut Julius, latihan tersebut turut dibantu beberapa jurulatih lain seperti Jiro Anak Lihap (jurulatih fizikal & penggerak) yang juga bekas atlet kebangsaan.
“Program latihan bermula semalam selepas berehat panjang dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ekoran penularan virus Covid-19.
“Latihan ini sebagai persiapan untuk menghadapi Sukan Para Sukma XX Johor tahun depan,” kata Julius. Sambil menambah kelompok atlet terbabit datang dari pelbagai kawasan negeri ini dan mereka tinggal di asrama di Kompleks Belia dan Sukan.
Julius pada masa sama menyatakan, latihan berlagsung di Pusat Kecemerlangan Akuatik Kuching, Sarawak. Tegas Julius, pihaknya tidak akan mengambil mudah saingan pada temasya itu kelak.
“Kita fokus dengan latihan kerana misi utama mahu mengekalkan reputasi hebat kontinjen Sarawak selaku juara bertahan sebanyak 13 kali berturut-turut,” jelas Julius.
Beliau menegaskan, sesi latihan turut dipantau Penyelaras Kontinjen Para Sukma Sarawak, Mathew Chin.