Skuad RR2 rangkul juara

SKUAD RR2 dinobatkan juara setelah menumpaskan pasukan Black Cat dalam Kejohanan PUBG Mobile Kakapo Gaming 2021 secara dalam talian.

Pasukan itu menang bergaya apabila memperolehi 62 mata mengalahkan lawan yang memperoleh 55 mata.

Manakala, tempat ketiga dimenangi oleh pasukan XSSB setelah kalah kepada pasukan Black Cat dalam aksi separuh akhir dengan kutipan 52 mata.

Presiden Persatuan Sukan Elektronik Batang Rajang Douglas Chupong Jefferson Jamit berkata, kejohanan tersebut adalah kerjasama persatuan dengan Kakapo gaming.

“Kejohanan ini tidak menawarkan hadiah wang tunai kerana objektif utama adalah untuk mengisi masa lapang peminat PUBG Mobile tempatan khasnya belia di kawasan luar bandar.

“Selain itu, untuk mengenal pasti bakat baharu pemain luar bandar dalam sukan elektronik,” katanya yang dihubungi arena Suara Sarawak semalam.

Jelasnya, program itu dianjurkan secara dalam talian supaya tidak melanggar Garis Panduan (SOP) seperti yang disarankan oleh kerajaan bagi memutuskan rantaian Covid-19.

Sebanyak 20 pasukan dengan 80 peserta menyertai pertandingan tersebut yang diadakan secara langsung dalam laman sosial Facebook Kakapo Gaming.

Dalam perkembangan lain, Persatuan Sukan Elektronik Sarawak (Sesa) turut merancang untuk mengadakan kejohanan di kawasan luar bandar seperti Kapit dan Belaga.

Presiden Sesa Afiq Fadhli Narawi berkata, merancang mengadakan kejohanan di Dewan Suarah Kapit pada Mac atau April.

“Kita akan tengok dahulu situasi penularan Covid-19 di negeri ini, kalau jadi kita akan adakan pertandingan terbuka di Kapit.

“Pertandingan terbuka di kawasan luar bandar itu membuka peluang buat belia di sekitar Song, Kanowit, Baleh dan kawasan lain menyerlahkan bakat mereka,” katanya.