Trending

Skuad tinju mampu buat kejutan

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah optimis skuad tinju mampu melakar kejutan untuk memenangi lebih dari satu pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XX Kuala Lumpur 2022 yang akan berlangsung dari 16 hingga 24 September nanti.

Keyakinan itu dibuat mengambil kira prestasi cemerlang petinju ketika berentap dalam Kejohanan Tinju Sarawak Terbuka 2022 di Sri Aman baru-baru ini.

“Dari apa yang kita lihat, keyakinan petinju amat tinggi sekali.

TAHNIAH…Datuk Seri Abdul Karim (dua kiri) menyampaikan Anugerah Petinju Paling Berpotensi kepada Darren sambil disaksikan (dari kanan) Nancy, Dayang Noorazah, Datuk Francis dan Datuk Rahman.

“Saya percaya mereka mampu beroleh lebih satu daripada pingat emas kelak,” katanya selepas menyempurnakan majlis penutupan Kejohanan Tinju Sarawak Terbuka 2022 di Stadium Tertutup Sri Aman baru-baru ini.

Dalam pada itu, beliau mengakui Sri Aman berpotensi untuk dijadikan pusat pembangunan sukan tinju di Sarawak selepas melihat sambutan menggalakkan terhadap penganjuran kejohanan tersebut.

Katanya, Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) telah berjaya menganjurkan kejohanan itu dengan baik sekali melihat kepada sambutan begitu menggalakkan terhadapnya.

Presiden SABA, Datu Rahman Lariwoo turut menzahir harapan agar Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan dapat memberikan lampu hijau untuk menganjurkan Kejohanan Tinju Remaja Dunia, Asia Tenggara di Sarawak.

“Saya amat berharap cadangan kita untuk menganjurkan kejohanan bertaraf dunia itu akan mendapat sokongan daripada pihak Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan,” katanya.

Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat II Datuk Francis Harden Hollis, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Nancy Jolhi.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru